Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan buat pertama kali tampil menerusi sebuah lagu ‘jingle’ untuk sebuah produk kecantikan yang diwakilinya, Mylea.
Rozita yang mesra disapa Che Ta bagaimanapun menambah, percubaannya menyanyi bukan bermaksud untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada, sebaliknya ia hanya bagi tujuan promosi semata-mata.
“Tapi janganlah salah sangka. Bukan maksud saya nak bersaing dengan penyanyi sedia ada. Ia bukan pun lagu komersial.
“Lagu ciptaan DJ Fuzz itu hanya untuk promosi produk berkenaan dan berdurasi 30 saat. Ia berentak santai dan kedengaran seperti dangdut.
“Malah sudah dimainkan di corong radio,” katanya.
Che Ta yang baru sahaja muncul menerusi filem Seandainya Kau Ada itu merakamkan lagu berkenaan pada 14 April lalu.
Sementara itu, isteri kepada pelakon Zain Saidin turut mendedahkan, dia pada awalnya tidak berapa yakin untuk menyanyi.
“Saya pun tak rasa ada vokal yang meletop macam penyanyi lain. Tapi disebabkan pengasas produk itu mahu saya menyanyi. Saya cabar diri.
“Saya tak anggap ia satu projek serius. Jauh sekali nak berentap di Anugerah Juara Lagu. Walau ada yang memuji kata saya bukan tak boleh menyanyi, saya tak rasa boleh serius menyanyi pun.
“Bahkan saya cakap mesti yang puji saya boleh menyanyi itu sekadar nak ambil hati. Dalam erti kata lain, bohong ‘sunat’,” selorohnya.
Sudah ‘kalis’ dengan pelbagai kritikan yang tidak membina, ibu kepada tiga cahaya mata itu tak mahu memikirkan apa kata orang.
“Saya sudah biasa dengan segala yang negatif. Tapi itu tak pernah jadi kudis,” katanya yang baru sahaja ilantik sebagai duta platform E-Dagang, Warongku di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.
Dalam perkembangan lain, Che Ta juga teruja untuk membintangi Kiah Pekasam versi filem terbitan Zeel Production.
“Sudah 11 tahun usia naskhah Kiah Pekasam yang melonjakkan nama saya. Daripada tiga musim drama ke beberapa siri telefilem, ia akhirnya direalisasikan ke bentuk filem pula.
“Insya-Allah 8 Mei ini saya akan ke Perlis untuk memulakan penggambaran. Memang produksi nak kejar momen musim mangga harum manis di sana
“Penggambaran filem itu akan berehat seketika memberi laluan kepada sambutan lebaran dijangka 13 Mei nanti. Pelakon asal juga akan berlakon termasuk suami saya,” katanya lagi.
Foto: Instagram Rozita Che Wan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI