“Saya Pun Takdelah Berkeras Nak Dia Mintak Maaf…,” – Hanyalah Miss Communication, Akim Ahmad Anggap Isu Dengan Model Vietnam Selesai

Share

Sebelum ini, nama penyanyi dan penulis lagu, Akim Ahmad menjadi perbualan selepas band yang dianggotainya, Akim & The Majistret terpalit dengan satu kontroversi bersama model berketurunan Jerman-Vietnam yang dikenali sebagai Jade Yanh.

Segalanya bermula selapas wanita terbabit meluahkan rasa kecewa apabila lakonannya dalam muzik video (MV) Rampas telah dikeluarkan.

Akim bagaimanapun mendedahkan, dia telah menganggap isu tersebut selesai meskipun tiada permohonan maaf secara peribadi dibuat oleh Jade.

“Dia minta maaf pun secara terbuka. Tapi saya tak kisah pun. Saya pun takdelah berkeras nak dia mintak maaf pada saya.

“Pada saya mungkin dia tidak faham situasi dalaman yang berlaku sewaktu pembikinan muzik video tersebut. Tapi pada saya itu hanyalah miss communication,” katanya kepada MH.

Jelas suami kepada penyanyi, Stacy Anam itu lagi, pada ketika itu dia tidak berniat untuk mengeruhkan lagi keadaan namun dia berasa terpanggil untuk menjelaskan mengenai situasi sebenar.

Katanya lagi, isu ini menjadi bertambah hangat apabila nama isterinya turut terpalit sama.

“Pada masa sama, info yang dia berikan tu salah dan tak tepat. Pada saya ini bukan isu siapa salah atau betul, cuma pihak produksi kene lebih berhati-hati untuk menyampaikan info agar tidak menimbulkan fitnah atau kemarahan.

“Dia mencabar harga diri isteri saya. Ini bukan soal isteri saya jealous atau tidak. Tapi kalau dia jealous sekali pun itu hak dia. Tapi ini bukan soal isu jealous cuma situasi lagu dan muzik video tu jauh bercanggah,” katanya lagi.

Penyanyi lagu Bengang ini berkata sedemikian sesi rakaman program MHthrowback, baru-baru ini.

Sementara itu, bapa kepada dua orang anak ini turut berpendapat sebagai seorang yang profesional, kita hendaklah memahami dan mengetahui bidang kuasa sewaktu bekerja.

“Isu ini sebenarnya tak patut dibangkitkan. Mungkin wanita tersebut tak tahu perkara sebenar. Mungkin itu yang buat dia frust. Tapi pada saya, sebagai seorang yang profesional kita kena tahu posisi kita.

“Pada saya ilmu itu penting. Kita kena tahu skop kerja kita. Dalam apa juga bidang yang kita lalui, kita kena tahu kita punya kuasa. Saya ada hak untuk keluarkan scene.

“Apa saya punya keputusan, perkara tu tak sepatutnya diberi tahu kepada pihak lain. Kalau nak ikutkan banyak lagi pelakon Hollywood yang scene dia dikeluarkan,” akhirinya.

Foto: Instagram Akim Ahmad, Stacy & Akim And The Majistret

Published by
Aizam Manaf