Hiburan

“Saya Rasa Kalau Panjang-Panjang Tak Necessary…,” – Diiring Dua ‘Bodyguard’, Diana Danielle Tenang, Ceria Tiba Di Mahkamah

Share

Pelakon, Diana Danielle hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bagi menguruskan proses pendaftaran rujuk dan pemfailan permohonan perceraian antara dia dan suami, Farid Kamil, pada jam 9 pagi tadi.

Diana yang memakai jubah hitam hadir bersama peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir dan dua orang pengawal peribadi, kelihatan tenang dan ceria.

Diana pada awalnya seolah-olah tidak mahu memberikan komen terhadap pertanyaan lebih 30 petugas media yang menanti di perkarangan mahkamah seawal 8.30 pagi lagi.

Bagaimanapun, emosinya kelihatan baik sepanjang menuju ke bilik pendaftaran.

Diana berkata dia menyerahkan semuanya kepada keputusan mahkamah dan mengharapkan yang terbaik.

“Saya harap yang terbaik untuk kami berdua. Saya rasa kalau panjang-panjang tak necessary kot.

“Saya berserah, sebab apa yang kita buat hanya merancang dan selebihnya kita tengok apa yang penghujungnya,” katanya yang menjawab ringkas beberapa persoalan rakan media.

Ditanya mengenai reaksinya ada Farid masih berusaha mahu menyelamatkan perkahwinan, Diana hanya sekadar memberikan senyuman.

Akberdin pula berkata permohonan itu dibuat susulan tiada persefahaman.

“Boleh dikatakan mereka tiada persefahaman. Hari ini kami hanya failkan dan akan dapatkan tarikh kemudian,” katanya.

Diana dan Farid kembali menjadi sebutan selepas Diana mengumumkan nekad mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu.

Namun, Farid menjelaskan dia masih mahu mempertahankan rumah tangga mereka dan mengakui masih menyayangi Diana dan anak-anaknya.

Sebelum ini, pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu. Namun, mereka rujuk sebulan kemudian.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang berusia sembilan tahun.

Published by
Aizam Manaf