Penganjur bersama Konsert Doa Buat Zamani, Saiful Azlan Ahmad, 49, atau Aalan mengakui kecewa dan terkilan dengan tuduhan yang dilemparkan isteri penyanyi itu terhadapnya, baru- baru ini.
Terdahulu, isteri Zamani, Nor Juliana Abd Rani atau Julie memuat naik status WhatsApp dengan mendakwa suaminya tidak mendapat bayaran ketika menjayakan konsert tersebut yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 30 September lalu.
“Tujuan saya adakan sidang media hari ini bukan bertujuan untuk besar-besarkan perkara ini.
“Tapi saya rasa kecewa dengan kenyataan isteri Zamani, yang mana menyebabkan maruah saya tercalar.
“Saya kenal Zamani dah lama dan saya anggap dia macam abang saya sendiri.
“Saya ikhlas nak bantu dia tapi tanpa usul periksa (isteri Zamani) buat kenyataan macam itu,” katanya.
Aalan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di Ampang, Selangor pada Khamis.
Dalam pada itu, Aalan menjelaskan niatnya hanya ingin membantu Zamani untuk mencari dana selepas penyanyi itu melakukan pembedahan yang dijadualkan pada minggu hadapan.
Namun, konsert tersebut sebenarnya kurang mendapat sambutan daripada peminat.
“Saya sebenarnya tidak mahu memberitahu hal ini kerana ia bakal memalukan Zamani.
“Namun, untuk menjelaskan situasi sebenar, ini sebenarnya yang berlaku. Tiket hanya terjual sebanyak 367 keping, berbanding kapasiti lokasi yang sepatutnya mempunyai lebih 1,200 penonton.
“Disebabkan itu, kami pihak penganjur mengambil keputusan untuk memberikan tiket secara percuma kepada kelab peminat Zamani bagi memenuhkan lokasi konsert.
“Ini kerana pihak penganjur akan menjual konsert ini kepada stesen televisyen dan bagi menampakkan konsert itu cantik (full house),”katanya.
Aalan berkata setakat ini keuntungan yang berjaya diraih pada konsert itu adalah sebanyak RM4,635 setelah ditolak kos keseluruhan produksi.
Konsert Doa Buat Zamani merupakan anjuran bersama Aalan dan Zamani yang dilakukan tanpa sebarang kontrak sebaliknya berdasarkan kepercayaan di antara mereka.
“Semua duit keuntungan RM4,635 saya beri pada Zamani, walau ikut persetujuan awal portion 70 peratus Zamani, 30 peratus saya.
“Tapi saya tidak tergamak nak ambil, saya bagi semua pada Zamani sebab konsert ini memang tujuan untuk bantu dia,” katanya lagi.
Terdahulu, isteri Zamani, Julie memuat naik status WhatsApp mendakwa suaminya tidak mendapat bayaran ketika menjayakan Konsert Doa Buat Zamani.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.