Selepas hampir 28 tahun, penyanyi Soma menyatakan rasa syukur apabila impiannya untuk menghasilkan album sulung berjudul ‘Perjalanan’ akhirnya menjadi kenyataan.
Menurut Soma atau nama sebenarnya Rosmah S.Sengari @ Basar, dia tidak pernah patah semangat dan menyifatkan Allah SWT sebagai sebaik-baik perancang.
“Perasaan saya bercampur baur. Saya rasa gembira dan bersyukur. Pada masa sama, saya ada rasa sedih juga.
“Dengan apa yang saya lalui sebelum ini, akhirnya impian saya tercapai,” katanya kepada MH.
Tambah Soma, dia pernah cuba untuk menghasilkan album sulung pada usia 21 tahun namun, projek tersebut terhenti di pertengahan jalan.
“Saya menganggap pada ketika itu belum ada rezeki dan waktu yang sesuai. Pada waktu itu, usia saya baru 21 tahun dan kita belum betul-betul tahu orang-orang di sekeliling yang boleh nak bawa saya ke dalam industri muzik dengan betul.
“Berkemungkinan ada berlaku juga masalah-masalah lain seperti di bahagian produksi. Pada usia yang muda, kita ikut sahaja apa yang mereka aturkan.
“Namun, saya tetap berjaya merakamkan tiga buah lagu. Jadi, untuk menyiapkan album ini. saya hanya menambah dua buah lagu lagi,” katanya lagi.
Pada masa sama, Soma yang pernah muncul juara Bintang Klasik RTM 2010 turut berbesar hati apabila menjadi artis terakhir yang berpeluang bekerjasama dengan komposer legenda, Allahyarham Datuk S. Atan.
“Sebenarnya, saya pun tidak jangka akan menjadi artis terakhir yang berpeluang bekerjasama dengan Allahyarham S. Atan.
“Bila arwah pergi sebelum album ini sempat dilancarkan, perasaan saya agak bercampur baur. Saya rasa sedih sebab arwah sudah tiada dan pada masa sama rasa bertuah kerana menjadi artis terakhir yang mendapat sentuhan komposer legenda.
“Kali terkahir kami bertemu Allahyarham ketika Konsert Legend di Sabah pada 2 November lalu.
“Saya berpeluang mengisi masa dan menyanyikan lagu ciptaan beliau. Dua minggu kemudian, arwah meninggal,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Soma juga berkongsi pengalamannya sewaktu proses merakamkan album bersama Allahyarham.
“Kata orang, arwah seorang yang garang tapi pada saya tidak. Dia hanya tegas dan menekankan soal disiplin dari segi masa dan komitmen. Ketika bekerja, kita perlu serius dan tak boleh main-main.
“Kebetulan saya juga seorang yang serius. Jadi, mudah untuk kami bekerjsama,” akhirinya.
Album yang diterbitkan dalam bentuk digital ini memuatkan lima buah lagu iaitu Curahan, Dugaan, Perjalanan, Memori Bulan Disember dan Bebaskan Aku.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.