Genre dangdut di Malaysia memiliki bilangan pengikutnya tersendiri dan di atas kapasiti itu, Mission Sight Sdn Bhd bakal menghimpunkan bintang dangdut popular Indonesia dan Malaysia di atas satu pentas, menerusi Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia.
Bakal dilangsungkan pada 12 Ogos depan di Pusat Ekuastrian Bukit Kiara sebagai lokasi, konsert selama selama dua jam itu menampilkan Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek2 dan Rhena Morena dari Indonesia dan dua penyanyi dangdut popular Malaysia iaitu Ani Maiyuni dan Baby Shima.
Turut diundang sebagai tetamu VIP pada malam konsert itu nanti ialah pelopor genre dangdut tanah air Mas Idayu, Amelina dan Ramlah Ram.
Pengarah Projek Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia, yang mewakili Mission Sight yang juga pelakon Riezman Khuzaimi berkata konsert ini membawa misi untuk mengintegrasikan dangdut ke dalam masyarakat moden dan industri muzik.
“Kami mahu memperkenalkan semula genre dangdut ke dalam pasaran semasa dan pada masa akan datang. Dangdut tidak sepatutnya dijadikan muzik untuk orang-orang tertentu sahaja tetapi boleh dinikmati oleh semua.
“Lihat sahaja pada zaman kegemilangan Amelina, Mas Idayu dan Ramlah Ram…lagu-lagi mereka dinikmati dan diterima semua,” katanya.
Tambah Riezman lagi, Mission Sight juga mahu memperkenalkan bakat dan pelapis baru genre dangdut.
“Di negara kita tidak ramai artis berkembang dengan genre ini (dangdut). Jadi, kami gabungkan bintang dari kedua-dua negara, Indonesia dan Malaysia untuk menggegarkan kembali industri dengan muzik dan lagu-lagu dangdut.
“Dalam pada itu, kami berasakan dengan penganjuran konsert ini nanti dapat menarik peminat-peminat dari negara serumpun seperti Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei untuk menonton artis kegemaran mereka membuat persembahan.
“Secara tidak langsung acara ini dapat mengembangkan industri pelancongan negara juga dan kami beradakan ia cara pemasaran baharu untuk industri pelancongan dan muzik,” katanya.
Dalam pada itu, Riezman yang turut aktif sebagai penerbit turut menjelaskan, pihaknya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk dikecam dan acara tersebut dipolitikkan sesetengah pihak.
“Ya, tidak dinafikan kebarangkalian itu berlaku dan mungkin akan ada yang mendesak agar konsert ini dihentikan.
“Kami sebagai penganjur sudah memberi garis panduan kepada para artis dan mereka faham dan bersetuju untuk mematuhinya.
“Saya rasa tidak adil jika peniant dihalang untuk berhibur kerana negara kita, negara demokrasi,”katanya lagi.
Mengulas lanjut, Riezman berkata dia terpanggil untuk menganjurkan konsert selepas melihat banyak konsert yang melibatkan artis tempatan dan antarabangsa diadakan selepas pasca pandemik Covid-19.
Ditanya mengenai karier dalam lakonan, Riezman berkata setakat ini dia mahu memberikan fokus kepada konsert terlebih dahulu.
“Buat masa ini saya mahu fokus kepada konsert ini dahulu. Sekarang saya agak sibuk berulang alik dari Malaysia ke Jakarta untuk konsert ini.
“Ketika ini saya tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk menerbitkan sebarang drama atau filem daripada produksi saya,” katanya.
Konsert Goyang Asia-Koplo Milenia bakal menampilkan selebriti versatil Malaysia, Didie Alias sebagai hos bersama Shandrra Rose dari Indonesia.
Penjualan tiket di zom duduk bermula dengan harga di RM658 (VIP), RM598 (Power), RM458 (Zon A), RM398 (Zon B) dan boleh rujuk kepada media sosial pihak terlibat bagi informasi lanjut serta proses pembelian tiket.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini