Pelakon Nadhir Nasar mengakui masih mencari pasangan hidup dan tidak menafikan mengimpikan wanita dari Kelantan sebagai suri hatinya.
Menurut pelakon drama Kelas Tahanan Cikgu Hiragi ini, personalitinya cukup dekat dengan gadis Cik Siti Wan Kembang.
Nadhir berkongsi mengenai perkara itu sebagai mengulas sepotong videonya yang spontan bercakap mengenai soal jodoh di aplikasi TikTok yang tular, baru-baru ini.
“Buat masa sekarang, saya masih menggunakan perkataan ‘mencari’ (jodoh). Tahun depan usia saya sudah 30 tahun. Betul, masih (mencari wanita Kelantan).
“Entahlah, saya rasa wanita Kelantan ini ada satu aura yang sangat dekat dengan personaliti saya,” katanya.
Menurut Nadhir, salah satu sebab utama dia menyukai wanita Kelantan kerana kebanyakannya pandai memasak.
“Saya ada ramai kawan asal Kelantan, baik perempuan atau pun lelaki. Jadi bagi saya yang membesar di Perak, perbezaan budaya antara kedua-dua negeri ini sebagai sesuatu yang menarik.
“Malah sebenarnya, saya ini pun penggemar budu. Itu sahaja,” seloroh Nadhir ketika ditemui di Sesi Meet & Greet Bulan Bintang di StarHill Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Selain Nadhir, duta jenama tersebut seperti Shukri Yahaya, Mierul Aiman dan Syafiq Kyle turut hadir memeriahkan acara.
Kempen ini berlangsung dari 12 hingga 23 Mac dan menampilkan ‘pop-up store’ serta pameran khas bagi meraikan ulang tahun ke-10 jenama fesyen terkenal itu.
Dalam pada itu, kesibukan jadual kerja yang padat menjadi cabaran utama buatnya dalam mencari pasangan serasi.
“Bulan lepas saja saya hanya ada sehari untuk cuti rehat, begitu juga dengan bulan ini saya ada masa berehat sekitar dua hingga tiga hari saja.
“Saya akui untuk menjadi kepunyaan seseorang pada masa sekarang agak susah, tapi saya percaya individu itu ada, cuma belum jumpa lagi,” ujarnya yang bersangka baik, jodohnya akan tiba pada waktu yang tepat.
Mengulas mengenai spekulasi yang kononnya dia sebenarnya sudah mempunyai teman istimewa, Nadhir menafikan perkara tersebut.
“Saya akui ada ramai yang membuat spekulasi saya sedang mempunyai hubungan dengan seseorang, jujur saya okey saja. Cuma privasi tetap menjadi keutamaan saya.
“Kadang benda itu tak betul hingga menjejaskan kedua-dua pihak. Cuma untuk saya, spekulasi itu tak betul,” katanya lagi.