Hiburan

“Saya Reda, Tiada Zuriat Pun Tak Mengapa,”- Rawatan IVF Tidak Menjadi, Aprena Manrose Percaya Takdir Allah

Share

Pelakon Aprena Manrose akui agak kecewa apabila usaha untuk mendapatkan zuriat melalui rawatan Persenyawaan In Vitro (IVF) tidak berhasil.

Jelas Aprena atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, dia dan suami, Mohd Afiq Hazman tetap menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

“Semasa buat rawatan IVF, saya terima beberapa tawaran watak utama tapi saya memang terpaksa berkorban. Ketika itu, saya dalam proses nak memasukkan embrio.

“Saya memang ikut betul-betul nasihat doktor. Dua minggu saya duduk rumah sahaja. Saya dan suami memang teruja dan bila hari pemeriksaan, doktor kata tiada yang lekat.

“Kami pulang dalam keadaan kecewa. Kami tidur seharian dan tak bercakap antara satu sama lain. Mungkin terlalu kecewa pada hari itu. Keesokkannya, baru kami okay kembali,” katanya kepada MH.

Aprena berkata sedemikian ketika ditemui ditemui majlis sidang media program Ramadan dan Hari Raya TV3 yang berlangsung di Glam Hall, Damansara Perdana pada Khamis.

Dalam pada itu, anak kepada penyanyi senior, Iwan Dangdut ini akui belum berputus asa untuk mendapatkan zuriat namun, reda dengan segala ketentuan Illahi.

“Saya kini lebih kepada reda dan pasrah. Tiada zuriat pun tak mengapa tapi saya tidak mengalah. Saya sudah sampai di satu fasa di mana saya terima segala keputusan.

“Mungkin Allah nak bagi kami zuriat di akhirat sana,” ulasnya lagi.

Ditanya sama ada dia kini agak sensitif bila bercakap soal zuriat, ini jawapan Aprena;

“Selalunya orang tak berzakap soal zuriat dengan saya sebab mereka faham dan hormat keadaan saya. Saya bersyukur sangat.

“Cuma contoh terdekat, bila Uqasha umum bersalin. Ketika itu, saya yang tahu dahulu selepas balik bercuti di Bangkok. Saya terus menangis dan tumpang gembira.

“Sudah tentu saya ada terasa sedikit sebab saya dah lama menantikan zuriat. “Dia pun macam rasa sebersalah. Dia tahu saya sudah tunggu lama. Kami menangis sama-sama,” kongsinya lagi.

Lantaran itu, Aprena kini mahu kembali aktif untuk mengejar minatnya dalam dunia lakonan.

“Saya berehat hampir setahun sebab pada ketika itu, saya ikhtiar untuk pergi rawatan Islam, cuba rawatan IUI dan IVF tapi tiada rezeki.

“Bila berehat sekejap orang ingat saya tidak berlakon lagi. Ditambah pula kini saya sudah bertudung.

“Bila duduk di rumah dan fikir fasal zuriat, buat saya jadi stress. Kini, saya nak kerja balik sebab lakonan memang minat saya,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf