Penyanyi Lan Solo, bersyukur selepas hubungannya bersama gitaris kumpulan Kristal, Rody kini telah pun kembali jernih.
Menurut Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, harapannya untuk berbaik semula dengan sahabat lamanya itu telah dimakbulkan selepas mereka dipertemukan ketika sama-sama ingin menunaikan solat jemaah di surau sewaktu menghadiri konsert minggu Gegar Vaganza 8 (GV8).
Katanya lagi, dia berharap agar hubungan baik ini akan berkekalan sampai bila-bila.
“Saya amat respect dengan Rody kerana dia yang menegur saya dahulu. Kisahnya begini, saya bertemu dengan Rody ketika sedang solat di surau PICC. Saya ikut jemaah ketika rakaat kedua.
“Selesai sahaja menunaikan solat, ada orang datang tepuk bahu saya sewaktu nak menyarungkan kasut. Rupanya orang itu adalah Rody. Bermula daripada itu, kami pun bersembang bertanyakan khabar.
“Sebelum ini ramai yang bertanya saya, bilakah kami akan berbaik. Saya hanya menjawab biarlah masa yang menentukan . Alhamdulillah Allah makbulkan doa kami.
“Sejujurnya saya tak pernah menolak untuk berbaik kerana kami ini dah seperti adik-beradik. Mak ayah dia macam mak ayah saya. Begitu juga sebaliknya. Saya berharap agar hubungan baik ini akan berterusan dan tiada lagi orang-orang yang akan melaga-lagakan kami,” katanya.
Lan Solo berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pengenalan single terbarunya yang berjudul, 5 Kaki 4 Inci yang berlangsung di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur.
Ketika ditanya adakah dia bakal bersatu semula bersama kumpulan Kristal, Lan memberitahu, dia dan Kristal sudah pun punyai jalan mereka yang tersendiri.
“Saya dah ada Kristal X dan mereka pun dah ada penyanyi baru. Tak manis rasanya kalau kita bercakap fasal isu ini. Mereka dah ada ‘perkahwinan’ baru takkan saya nak ganggu rumahtangga (band) mereka.
“Saya perlu menghormati band Kristal begitu juga mereka dengan ‘keluarga’ baru saya, Kristal X. Bagaimanapun, saya tidak akan menolak sekiranya ada perancangan untuk berkerjasama selepas ini.
“Kami tak bertegur sapa daripada 2017. Mungkin ini masa yang terbaik untuk hentikan persengketaan ini,” kongsinya lagi.
Dalam perkembangan lain, Lan memberitahu, lagu 5 Kaki 4 Inci ini merupakan percubaan pertamanya untuk menembusi pasaran muzik di Borneo.
Tambahnya lagi, ini juga merupakan salah satu usahanya untuk membalas semua jasa baik rakyat-rakyat Sabah yang tidak putus-putus menyokongnya selama ini.
“Saya tak nafikan, lagu ini sememangnya untuk mengambil hati rakyat-rakyat Sabah. Ini juga sebagai tanda penghargaan saya buat masyarakat di sini yang sentiasa menyokong saya selama ini.
“Sejujurnya, sepanjang saya membuat persembahan di sini, saya sentiasa mendapat sokongan yang luar biasa. Walaupun persembahan itu berbayar, saya teruja kerana penontonnya sentiasa penuh.
“Walaupun harga tiket RM10 atau RM15, penonton di stadium sentiasa penuh. Ini penghargaan yang perlu saya balas. Penerimaan peminat di Sabah ini sangat luar biasa. Saya rasa amat dihargai,” akhirinya.
Lagu yang mencampurkan elemen Bahasa Melayu Sabah dan diselitkan dengan lorat Dusun ini diciptakan sepenuhnya oleh Valvet Aduk Lawrence dan Marsha Milan.
5 Kaki 4 Inci kini sudah boleh mula didengari di seluruh platform penstriman manakala muzik videonya pula akan ditayangkan bermula hari ini di laman Youtube rasmi Lan Solo.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.