Pelakon senior, Namron, 52, teruja dan berbesar hati apabila pertama kali berpeluang memperagakan pakaian jenama Neonate Cloting yang disokong disokong Kamya Glow di acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) Ahad lalu.
Menurut Namron atau nama sebenar Shahili Abdan, pengalaman ‘catwalk’ di pentas peragaan adalah sesuatu perkara baru yang menyeronokkan.
“Pertama kali sebab sebelum ini saya tak pernah buat modeling lagi. Selalu tengok dekat televisyen sahaja. Jujurnya saya memang dari dulu lagi suka tonton pertunjukan fesyen, tak tahu kenapa. Mungkin kerana ia pun satu bentuk persembahan juga.
“Bila lakukannya secara langsung, saya risau penonton akan gelak, adakah cara jalan saya betul atau tidak. Jangan tersepak kaki tersungkur jatuh di situ. Itu yang membuatkan saya bimbang dan cuba untuk berhati-hati.
“Bagaimanapun apabila masuk ke lorong ‘runway’ kedua, sudah ada keyakinan tak adalah rasa kaku sangat. Tidak ada latihan… saya buat sahaja. Apa pun itu benda baharu bagi saya. Rasa seronoklah,” katanya.
Ditanya soal ketebukaannya di dalam menerima perkara yang kerap melibatkan golongan muda misalnya dalam modeling, pelakon dan pengarah filem One Two Jaga ini menegaskan itu bukan alasan untuk tidak mencuba sesuatu yang baharu.
“Saya senang nak katakan bahawa ‘aku tak tua, tua hanya pada nombor.’ Saya sentiasa meletakkan dalam sebagai ‘orang muda, jiwa muda’. Saya sentiasa berkawan dengan mereka yang lebih muda, kebanyakan berusia 20-an dan 30-an.
“Meski ketika di belakang pentas macam semua muda-muda, aku sahaja tua dekat sini. Tapi okay.
“Tetapi mereka yang sebaya pun berkawan juga, cuma lebih rapat dalam kelompok umur sedemikian, sebab itu jiwa saya suka pada benda yang orang muda buat.
“Bagi saya, tidak salah orang tua bercampur dengan orang muda, sepatutnya tak ada jurang sebab kita pun kena tahu apa berlaku di sekeliling kita,” katanya lagi.
Selain Namron, koleksi 30 rekaan yang diberi nama Noir itu turut dipersembahkan oleh barisan ‘muse’ lain iaitu Abdul Latif Romly, Sabronzo (Dolla), Sissy Iman, Yonny Boii, jurusolek Bosco dan Aidil Maula.
Kerjasama di antara Kamya Glow dan Neonate turut selari dengan matlamat yang mana kecantikan bukan sahaja untuk luaran tetapi perlu penjagaan dari dalaman.
Malah kolaborasi unik di KLFW ini juga sebagai menyokong semangat ‘Support Lokal’ dan tindakan di luar kotak menjadi pemangkin idea kolaborasi di antara dua jenama ini.