“Saya Sangat Setuju Dengan Format Baharu…,” – Fazley Yaakob Sokong Artis Masih Aktif & Popular Masuk GV, Buka Ruang Persaingan

Selebriti Datuk Fazley Yaakob menyokong perubahan format baharu yang diketengahkan program realiti, Gegar Vaganza (GV) apabila pada musim ini, penyanyi yang dilihat masih popular dan masih aktif turut diberi peluang untuk bersaing.

Fazley berkata, perubahan drastik yang berlaku memberi ruang persaingan yang lebih sihat, apatah lagi para peserta edisi kali ini disifatkan sebagai hebat belaka.

“Saya sangat setuju dengan format baharu yang dilakukan. Sebab ada penonton yang mungkin sudah bosan dengan pertandingan yang klise.

“Jadi bila Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) ambil penyanyi popular atau yang pernah memenangi anugerah lain untuk sertai, pada saya ia mengubah landskap GV itu sendiri.

“Saya sokong walaupun ada perserta yang popular tapi dia mungkin sudah lama tidak bertanding di dalam genre lagu yang berbeza. Sekarang ini, semua peserta bertanding dengan orang yang hebat.

“Jadi saya rasa dengan adanya pembaharuan itu, mungkin program pertandingan lain pun akan terfikir untuk melakukan perubahan juga,” katanya kepada MH.

IKLAN

Penyanyi lagu Asmara Ini itu ditemui pada majlis Pelancaran Menu Baharu Starbucks di Starbucks Reserve Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara menu lazat terkini yang diperkenalkan ialah Kuih Bakar Burnt Cheesecake, Brioche Murtabak Ayam, Croissant Roti John, Pau Sambal Malaysia danAyam Percik Linguine.

Sementara itu ditanya sama ada format tersebut ‘adil’ untuk penyanyi yang mahu kembali selepas lama menyepi, Fazley mengulas;

“Sebab itu saya kata, GV bukanlah platform untuk membantu mereka yang ‘suam-suam kuku’, tetapi ia platform pertandingan. Bila saya sendiri pernah sertai GV, saya tahu ia sebuah pertandingan yang sebenar.

“Jadi kalau ia sebuah pertandingan, tak semestinya kalau orang itu (peserta) ‘suam-suam kuku’ atau sedang hebat mereka tidak boleh berada di pentas yang sama. Masing-masing ada kehebatan tersendiri.

IKLAN

“Sebab apa yang saya tahu, tema GV setiap tahun juga berbeza. Ketentuannya tahun ini kita tahu setiap peserta memang hebat. Rasa saya bila saingan GV9 ini sudah mula, penonton akan mulai faham ‘competition is competition’,” katanya lagi.

Terdahulu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad kepada media sebelum ini menjelaskan, format baharu itu bertepatan dengan peredaran masa.

Malah ia dibuat bagi menyuntik elemen kelainan selepas hampir sedekad menghiburkan penonton.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.