“Saya Sedar Ada Bakat Ke Arah Itu, Cuma…,” – Projek Oktovia Manrose Dengan BimaSakti, Tak Nak Nyanyi Macam Lepas Batuk Di Tangga

Share

Selain berlakon, Oktovia Manrose membuktikan dia juga berkebolehan menyanyi.

Bintang drama Cinta Tiada Ganti itu kini muncul dengan lagu Biar Aku Simpan bersama kumpulan Bimasakti yang diterbitkan Life Records yang dilancar 5 Mac lalu.

Sekali gus, ia boleh dianggap sebagai pengenalan buatnya.

Bagaimanapun kakak kepada Aprena Manrose ini juga pernah beberapa kali merakamkan lagu ‘filler’ untuk drama membabitkan produksi yang dikenalinya.

“Ikutkan menyanyi memang minat saya sejak sekian lama. Saya sedar ada bakat ke arah itu, cuma perlu diasah. Dulu pun sebenarnya ada peluang menyanyi, cuma saya tak nak terburu buru.

“Saya sendiri rasa belum cukup bersedia. Saya tak mahu menyanyi macam melepaskan batuk di tangga. Biarlah ada ilmu atau serap pengalaman orang lain, baru saya berani keluar dari zon selesa.

“Menerusi projek kolaborasi dengan kumpulan ini pun saya banyak timba pengalaman dan belajar teknik tertentu fasal muzik,” katanya.

Pemilik nama lengkap, Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman ini menjelaskan, salah seorang anggota Bima Sakti yang dipanggil Jim membuka peluang berkenaan.

Lagu itu dirakamkan sekitar enam bulan lalu.

“Mulanya tak sangka dia tawarkan peluang ini. Jim sendiri bukan asing kerana sudah menerbitkan lagu untuk ramai artis seperti Khai Bahar, Sheryl Shazwanie dan Azzam Sham.

“Saya sendiri pun selalu merakamkan lagu demo untuknya. Cuma lamaran untuk membuat penampilan lagu itu, saya sahut dengan optimis. Saya sendiri menyukai bahagian korus lagu itu yang sangat melankolik,” katanya.

Tidak sekadar membuat penampilan khas untuk lagu berkenaan, ibu kepada Muhammad Rayyan Zafariel ini turut menjadi model video muzik karya sama.

“Kerana kebetulan saya sendiri sudah faham keseluruhan isi cerita lagu. Jadi saat ditawarkan untuk jadi model video muzik… saya cakap kenapa tidak,” katanya yang tidak pernah memasuki mana mana pertandingan  nyanyian.

Artis di bawah pengurusan Absolut Talent & Management itu juga tidak menolak andai ada rezeki menyanyi solo selepas ini dan terbuka mencabar kemampuan vokalnya.

“Saya anggap kolaborasi dengan kumpulan itu sebagai pemanas enjin. Selepas ini baru yakin sedikit nak menyanyi solo.

“Saya secara peribadi suka genre lagu hip hop, R&B, pop balada. Saya paling minat Ariana Grande, selain Sarah Raisuddin, Jaclyn Victor, Melly Goeslow, Kris Dayanti dan terbaru Sarah Suhairi dan Aina Abdul,” katanya yang pernah menjadi penari kebudayaan di Istana Budaya

Ketika ini, Oktovia berada di Pulau Langkawi bagi melunaskan baki penggambaran drama Hari Kita Jatuh Cinta terbitan Zeel Production bagi siaran Awesome TV.

Published by
MH