“Saya Sedar, Dalam Kalangan Kita Ada Yang Punya Masalah Jiwa,” – Tak Perlu Sensitif Pada Yang Beri Komen Melampau, Fokus Shakilla Khoriri Hanya Pada Anak

Share

“Hal tersebut sensitif, tapi bagi saya mereka yang lontarkan komen sedemikian mungkin ada masalah dalam diri.” Itu kata pelakon, Shakilla Khoriri apabila ada warganet yang meninggalkan komen melampau berkaitan ahli keluarga, terutamanya mengenai anak tunggalnya, Ameena di laman sosial.

Shakilla, 30,  turut menambah, individu yang normal lazimnya tidak akan memberikan komen yang di luar norma.

“Orang itu mungkin secara luaran dia nampak okay macam kita semua, tetapi hakikatnya, dia ada masalah dengan diri-sendiri atau tak bahagia.

“Kalau masih ada yang beri komen yang pelik-pelik dan sebagainya, saya tidaklah melatah meski ada juga peminat yang tegur mengapa tidak ambil tindakan dan sebagainya.

“Bagi saya, biarlah. Orang itu mungkin ada masalah diri. Cuma pernah satu ketika, bila saya berdepan dengan situasi tersebut, ia jadi besar kerana peminat yang back-up.

“Kemudiannya saya ada teks individu yang beri komen melampau itu dan dia kemudiannya meminta maaf,” katanya yang akui pada peringkat awalnya, dia turut tertekan apabila meneliti setiap komen negatif yang ditinggalkan.

“Ya, pada awalnya memang saya ada melatah juga.  Cuma sekarang saya sedar, dalam kalangan kita ada yang punya masalah jiwa. Malah, ada yang komen sebegitu demi mendapatkan perhatian.

“Mereka mengharapkan kita beri respon. Selagi kita tak balas, selagi itu ada yang cuba terus timbulkan provakasi.

“Paling penting, saya dan suami mahu pastikan anak membesar dengan baik, dan saya tidak nafikan dalam situasi sekarang, soal penjagaan dan kebersihan si kecil perlu dititikberatkan secara total,” jelasnya lagi.

Terdahulu, isteri kepada hos dan penyampai radio, Fizi Ali ini ditemui pada majlis Mayua Baby Launch bersama Pa&Ma di Shah Alam, baru-baru ini.

Pada majlis sama, jenama tersebut turut melancarkan empat rangkaian produk bayi iaitu Baby Cream, Baby Lotion, Shower Gel, Spray Hand Sanitizer.

Ia diperbuat daripada bahan selamat untuk bayi dan dirumus khas dengan penjagaan lembut.

Sementara itu, Reni Ismalia Edy selaku Pengasas Mayya Baby menerusi kenyataan media memberitahu kolaborasi mereka bersama Pa&Ma dilihat sebagai satu platform terbaik untuk terus memberi informasi mengenai penjagaan si kecil.

“Bagi saya kesinambungan yang dibawa dalam bentuk majalah oleh Pa&Ma ke dalam bentuk digital dan media sosial telah membuka peluang lebih luas untuk ibu bapa di luar sana mendapat manfaat dari setiap penulisan yang disampaikan kepada ibu bapa dan bakal ibu bapa.

“Ia penting bagi membantu pasangan agar lebih celik dan peka dengan ilmu keibubapaan, kesihatan dan penjagaan bermula dari kehamilan sehinggalah, kelahiran, dari usia bayi sampai anak menginjak ke usia kanak-kanak,” katanya.

 

Published by
Rafiq Mazlan