Hasrat untuk mempersembahkan lagu kegemarannya pada minggu hadapan tidak kesampaian apabila Meer Nash terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Big Stage 5 (BG5), malam tadi.
Meski tersingkir, Meer Nash bagaimanapun tetap berlapang dada dan percaya rezeki yang lebih baik tetap menantinya di luar sana.
“Kalau bukan sekarang, mungkin minggu hadapan atau seterusnya. Perasaan itu tetap ada kerana ini merupakan pertandingan.
“Namun, saya tak sangka akan terkeluar hari ini kerana minggu hadapan saya dapat lagu kesukaan saya. Mungkin tiada rezeki dan saya terima,” katanya kepada MH.
Tambah Meer Nash, meskipun harus berdepan pelbagai cabaran namun, dia tetap teruja kerana berpeluang menimba pelbagai ilmu baharu sepanjang empat minggu dalam saingan.
“Bukan mudah nak bertanding di program ini. Ia susah dari mental dan fizikal. Namun, kata orang kita kena keluar daripada zon selesa.
“Bila syarikat rakaman bertanya kepada saya sama ada nak sertai Big Stage atau tidak, saya terus setuju.
“Saya sedar yang diri saya ini bukan seorang penyanyi yang boleh masuk pertandingan atau punyai kekuatan vokal tapi saya ingin mencari pengalaman.
“Sepanjang empat minggu, saya belajar banyak perkara. Jadi, saya tak serik,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai kekuatannya sebagai penyanyi memandangkan segala usahanya untuk menampilkan persembahan terbaik di Big Stage 2023 gagal memikat hati juri, Meer Nash positif.
“Saya masih lagi mencari hala tuju muzik saya sebagai penyanyi. Saya dah cuba bermacam perkara tapi masih lagi belum jumpa muzik yang buat saya selesa.
“Kalau anda bertanya kepada saya sekarang, jiwa saya kuat ke arah balada terutama sekali genre balada Indonesia. Saya ni imej sahaja macam K-Pop tapi saya suka lagu jiwang.
“Ada orang memang dilahirkan dengan kekuatan vokal yang mantap tapi bukan saya. Jadi, saya kena usaha dengan lebih kuat lagi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 28 tahun itu tetap menghargai segala kritikan juri terutamanya daripada komposer, Ajai.
“Pada saya, bila setiap kali Ajai memberikan komen walaupun ‘pedas’, saya akan menganggapnya sebagai ilmu baharu. Setiap minggu saya berdoa agar Ajai yang akan memberikan komen terhadap nyanyian saya.
“Ini yang saya harapkan bila sertai program ini. Saya nak belajar dan timba ilmu baharu. Saya langsung tak ambil hati,” akhirinya.
Meer Nash telah menjadi peserta ketiga yang tersingkir di Big Stage 2023 selepas berada di tiga tangga tercorot bersama peserta Farhan Shah dan Firdaus Rahmat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI