“Saya Selalu Berdoa Ia Bukan Kanser,” – Ketulan Dalam Perut Dah Cecah 6cm, Isteri Fad Bocey Jalani Pembedahan

Share

Tindakan pelawak dan penyampai radio, Fad Bocey yang berkongsi video memaparkan isterinya, Syaheera Rahman sedang ditolak di atas kerusi roda nyata menimbulkan kerisauan di hati para peminat.

Malah, Fad juga turut memohon kepada semua pihak untuk mendoakan agar isterinya itu sentiasa dilindungi dan diberikan kesembuhan.

Menerusi perkongsian di Instagram stories, Syaheera memaklumkan dia sebenarnya sudah kerap kali keluar masuk hospital disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak menentu.

Menurut ibu kepada empat orang cahaya mata ini lagi, dia sebenarnya mengalami rasa sakit yang agak teruk di bahagian perut dan selepas membuat pemeriksaan, doktor mendapati terdapat ketulan di bahagian tersebut.

“Banyak yang dm sakit apa pula kali ini. Mesti pelik kan Sya dan penyakit berpisah tiada. Haritu baru warded. Ni warded lagi. Ceritanya adalah yang haritu warded tu sebab memang attack dalam perut.

“Sakit yang saya cuba untuk hadam dan tahan. Lagi power dari sakit nak bersalin tu. Any painkiller pun tak jalan. Maknanya serah diri juga dan saya buat ct scan. Jadi doktor sahkan ada jangkitan dan cyst saiz 2cm,” tulisnya.

Jelasnya lagi, dia menjadi bertambah risau apabila saiz ketulan tersebut telah membesar sehingga 4cm.

“Dimana saya tak perlu risau pun tapi bila dah discharge sakit tu datang kembali tanpa dijemput. Tetap sakit yang kuat sangat.

“Bila check lagi dengan Dr. Norleen, cyst tu jadi 4cm. Eh dia makan apa ya membesar bagai juara,” ujarnya lagi.

Lantaran itu, Syaheera mendedahkan dia terpaksa menjalani pembedahan kerana bimbang sekiranya keadaan ketulan tersebut semakin melarat sehingga boleh menyebab kanser.

“Jadi, bila kita putuskan untuk last check up, tahu tak jadi apa? Cyst tu dah bersaiz 6cm. Takkan nak tunggu besar baru nak remove dan tanpa cakap banyak, saya bersedia untuk serah diri.

“Cyst ni paling risau kalau dia pecah dan rupanya cyst tu kanser memang sangat bahaya sebab boleh merebak. Saya selalu berdoa yang ia bukan kanser. Inilah sebab saya di sini. Sesiapa yang ada cyst, tolong jangan ambil mudah. Check betul-betul,” akhirinya.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Fad itu, rata-rata netizen dan rakan selebriti mendoakan agar pembedahan tersebut berjalan lancar.

Sekadar informasi, Fad dan Syaheera telah mendirikan rumah tangga pada 14 Mac 2015 dan sudah dikurniakan empat cahaya mata.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Syaheera Rahman & Fad Bocey

Published by
Aizam Manaf