“Saya Selalu Merayu Agar Dia Membenarkan…,”- Anak Sulung Heidi Klum Ikut Jejak Ibu. Wajah Cantik Jadi Perhatian

Share

Supermodel, penerbit dan pengacara, Hedi Klum, merupakan seorang model yang berjaya membina nama besar di dalam industri hiburan dan fesyen. Bukan sekadar asyik dalam dunia model, dia melebarkan sayapnya dalam industri lain seperti televisyen dan perniagaan bagi meluaskan lagi sumber pendapatannya.

Baru-baru ini, kelibat anak sulungnya, Leni Klum, menjadi perhatian media apabila dia muncul sebagai salah seorang model untuk pertunjukan fesyen khusus untuk koleksi Dolce & Gabbana Alta Moda. Heidi yang dilihat duduk di barisan kerusi jemputan cukup bangga melihat anaknya berjalan untuk jenama besar tersebut.

Leni yang baru berusia 17 tahun merupakan anak sulung Heidi hasil perhubungan bersama hartawan Itali, Flavio Briatore. Dilahirkan pada 4 Mei 2004, Leni bercita-cita mahu menjadi seorang model seperti ibunya sejak berusi 11 tahun lagi namun impiannya itu dihalang oleh ibunya kerana dia masih terlalu muda.

Dia menjelaskan yang dia pernah ditahan di dalam sebuah kedai oleh agen bakat, lalu dengan terujanya bertanyakan ibunya mengenai hal itu jika dia boleh mula menceburkan diri dalam bidang peragaan. “Tapi ibu terus mengatakan tidak dan terus tidak membincangkan hal itu lagi,” ujar Leni ketika ditemubual oleh Extra ketika melakukan penggambaran muka hadapan majalah Rollacoaster.

Ketika berusia 16 tahun barulah dia dibenarkan untuk bekerja sebagai model oleh ibunya. Dalam satu temubual bersama People, Heidi berkata, “Sekarang dia sudah cukup dewasa. Saya selalu rasakan yang dia terlalu muda jadi kami membuat keputusan untuk tidak terlalu mendedahkan anak-anak di mata umut. Tetapi sekarang dia sudah memandu kereta, jadi saya rasa jika dia sudah boleh lakukan perkara itu, dia sudah cukup dewasa untuk memulakan karier sebagai model.’

 

Baru menceburkan diri dalam dunia fesyen, Leni telahpun menjadi pilihan majalah fesyen terkenal seperti Vogue, Rollacoaster dan Glamour untuk menghiasi muka hadapan majalah mereka. Selain menjadi model untuk jenama Dolce & Gabbana, Leni baru-baru ini juga menjadi model untuk berjalan di pentas peragaan jenama About You di minggu fesyen Berlin.

Sumber: Yahoo Life

 

 

 

 

 

Published by
Fiezreen