Penyanyi Elyana masih meneruskan rawatan kanser limfoma seperti biasa meski memaklumkan dia sudah bebas daripada sel barah yang merebak dalam tubuhnya, awal Disember lalu.
Menurut Elyana, 35, dia masih perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak empat kali selepas ini.
“Alhamdulillah beberapa minggu lepas, saya sudah lalukan ujian saringan yang terbaru, menunjukkan sel kanser itu sudah tidak ada. Tapi saya masih berjaga-jaga sebab bila-bila saja sel kanser ini boleh ‘grow’ kembali.
“Jadi saya masih jalani rawatan berkala seperti biasa yang berbaki lagi empat kali sesi kimoterapi. Insya-Allah selepas itu, saya akan lalukan transplan pula. Alhamdulillah, setakat ini saya masih lakukan kerja-kerja yang tidak terlalu berat seperti biasa,” katanya.
Mengakui terkejut dengan hasil positif yang diterima, Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal bersyukur kerana doanya selama ini dimakbulkan.
“Ketika hari doktor kongsikan berita tersebut, saya memang tak jangkanya langsung. Saya sudah sakit selama 10 tahun dan pada awalnya, memang mengharapkan kesembuhan tapi ia tidak berlaku.
“Jadi saya tanam dalam hati tak payah berharaplah, cuma sekadar berdoa moga diberikan kekuatan untuk teruskan kehidupan.
“Ketika doktor minta saya lakukan ujian positron emission tomography (PET) scan sebelum teruskan kemoterapi yang kelima kalau tak silap, dia minta saya untuk sama-sama tengok hasil imbasan.
“Katanya, cuba tengok ni awak punya kanser sudah hilang. Lalu saya terkejut dan alhamdulillah ketika itu suami pun ada di samping saya. Kami saling memandang. Sampai sekarang, sejujurnya saya masih rasa ia macam mimpi,” katanya.
Elyana turut sebak dan berazam untuk terus kuat demi anak-anak selain memberikan inspirasi kepada mereka yang turut sama berdepan dugaan sama.
“Apa yang saya doa dan mimpikan selama ini sudah pun berlaku. Saya gembira begitu juga dengan doktor yang merawat. 10 tahun tempoh yang lama untuk kami tunggu saat ini. Syukur alhamdulillah.
“Saya sebak. Orang kata setiap ujian pasti akan ada pelangi di hadapan dan perkara ini terjadi kepada saya. Saya selalu mimpi, doakan mahu hidup lama untuk temankan anak-anak. Kalau boleh mahu bersama sehingga mereka besar sampailah ada orang yang boleh jaga sebagaimana saya menjaga mereka.
“Selalu fikirkan hal ini dan ia menjadi antara salah satu doa yang saya panjatkan. Pada masa sama saya juga mahu sihat untuk beri inspirasi kepada mereka yang sedang ditimpa ujian sakit untuk terus kuat.
Terdahulu, Elyana membuat pendedahan bahawa dia menghidap kanser limfoma itu pada 2017 lalu.
Elyana yang bertemu jodoh dengan Khairul Anuar pada 2010 dikurniakan anak perempuan, Cinta Sumayyah, 11, dan seorang anak angkat, Cahaya Ramadhani kini berusia lebih dua tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.