Selepas dikritik hebat netizen gara-gara tindakkan membuat video prank yang melibatkan pihak polis, pasangan selebriti sensasi Indonesia, Baim Wong dan isterinya, Paula Verhoeven membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Instagram pada Isnin.
Menerusi video berdurasi hampir empat minit itu, Baim memaklumkan, dia dan isteri telah hadir ke Balai Polis Kebayoran Lama Jakarta Selatan bagi memohon maaf kepada para petugas di sana.
Katanya lagi, dia sendiri tidak menyangka video prank tersebut bakal mencalarkan imej pihak berkuasa Indonesia.
“Video yang anda saksikan tadi merupakan permohonan maaf saya kepada pihak polis di balai polis yang telah saya hadiri. Saya minta maaf.
“Seharian juga saya berfikir, apa yang telah saya lalukan dan kongsikan itu, saya sendiri tak terfikir akan mendapat kesan seperti ini. Ternyata banyak pihak telah menerima kesan daripada perbuatan saya ini terutamanya institusi kepolisan,” katanya.
Jelas pelakon filem Laila Majnun ini lagi, pada awalnya, dia tidak merasakan tindakkannya itu salah memandangkan dia mempunyai hubungan yang baik dengan pihak polis di balai tersebut.
“Saya ingatkan, saya memang dah kenal sangat dengan pihak polis di sini kerana mereka pernah berjasa dengan saya ketika menangkap pencuri motosikal saya sebelum ini. Hubungan saya dengan pihak polis di sini juga baik. Saya juga selalu singgah ke balai untuk bertanyakan khabar.
“Saya fikir, bila hubungan kami sudah rapat seperti ini, kami boleh melakukan hal sedemikian. Ternyata tindakkan kami itu salah kerana pada pandangan orang luar mereka tetap pihak berkuasa. Saya akui kesilapan saya dan telah memohon maaf secara langsung.
“Semoga mereka tidak dipersalahkan kerana yang salah adalah daripada pihak saya,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Baim turut merakamkan permohonan maaf kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga kerana videonya yang kurang sensitif itu.
Malah, dia juga terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan teguran di atas ketelanjurannya itu.
“Kepada korban-korban keganasan rumah tangga, saya juga ingin memohon maaf. Saya memang tak berfikir panjang dengan tindakkan bodoh saya ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pihak yang telah menegur saya walau dengan apa cara sekali pun.
“Terima kasih kerana selalu harus mengingatkan saya. Sebagai manusia, kalau berbuat salah, memang kena ingatkan. Buat mereka yang telah menyokong saya selama ini pun, saya ingin berterima kasih. Mungkin dengan hal ini, kita akan berubah ke arah yang lebih baik,” kongsinya lagi.
Semalam, isterinya, Paula telah hadir ke balai polis dan berpura-pura membuat laporan kononnya dia telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Pada ketika itu, Baim sedang berada di dalam keretanya sambil merakam video tersebut sebelum meluru masuk ke dalam balai bagi menjelaskan mengenai situasi sebenar.
Pihak polis pada awalnya tidak mengenali wanita yang ingin membuat laporan itu merupakan Paula sebelum memintanya untuk menanggalkan pelitup muka yang dipakai.
Dek kerana perbuatan tersebut, Baim dan isterinya telah teruk dikecam netizen dan video tersebut juga telah dipadam daripada saluran Youtube Baim Paula.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.