Pelakon jelita, Nora Danish mendedahkan dirinya juga tidak dapat lari daripada masalah tekanan atau keresahan seiring dengan pertambahan usia.
Menurut pelakon yang kini meniti usia 40 tahun itu, dia menjadi tertekan apabila terlalu memikirkan perkara yang berada di luar kawalannya.
Malah akui Nora, tidak salah untuk seseorang itu berasa sedih namun, ia tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan hingga makan diri.
“Bagi saya, ada kalanya saya tertekan bila memikirkan soal kerjaya. Masa saya muda, saya selalu bayangkan pada umur 40 tahun, saya akan mencapai pelbagai perkara. Bila tak dapat, saya jadi tertekan dan keresahan. Tapi saya cepat-cepat alihkan gangguan tersebut kepada perkara lain.
“Kita boleh sahaja nak bersedih tapi mesti ada jangka masanya. Sehari dua rasanya sudah cukup. Tak perlu terbawa-bawa sampai lama sangat.
”Kita kena selalu cakap dengan diri, ‘kita akan okay’ dan cuba cari jalan untuk selesaikan masalah itu. Kebanyakan orang mungkin dia akan putus asa. Putus asa ni boleh buatkan seluruh anggota badan kita ‘shut down’.
”Jangan guna perkataan give up. Bila dengan anak-anak pun saya elakkan guna ayat sedemikian,” katanya kepada MH.
Ibu kepada dua cahaya mata itu ditemui di majlis sidang media pelancaran filem Kan Cheong di GSC Starling Mall, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dia tidak berjumpa dengan pakar kesihatan, sebaliknya hanya membuat carian di Internet untuk meredakan keresahan yang dihidapinya itu.
“Bila dah berumur ini, saya jadi lebih takut kepada kematian. Rawatan tak ada sangat tapi saya lebih banyak kepada membaca. Sekarang ini, di media sosial dah banyak orang berkongsi kata-kata motivasi. Jadi, saya selalu tengok dan baca.
“Punca anxiety bukan disebabkan netizen tetapi lebih kepada kalau saya naik kapal terbang, saya akan banyak fikir (terhempas). Saya seorang yang emosional, sangat sensitif.
“Dua perkara ini boleh menjadi faktor saya berfikir berlebihan. Selalunya persepsi kita, bila terlalu fikirkan sesuatu, mesti kita ingatkan benda-benda keburukan.
“Tapi saya akan cepat-cepat salurkan fikiran itu sebagai ‘super power’ saya. Orang lain tak ada, tapi saya ada. Bukan apa, terlalu banyak berfikir ini bukan saja menyakiti hati saya saja, malah turut melukai orang yang berada di sekeliling,” katanya lagi.
Dia pada masa menambah, setiap kali perlu menaiki kapal terbang, dia pasti akan menghubungi ibunya untuk berpesan mengenai harta peribadi.
“Saya akan buat wasiat dan apa yang patutlah. Telefon mak saya dah beritahu harta saya dekat sini dan semualah. Tapi itulah, lama-lama saya sendiri kena ‘push’ diri.
“Mungkin sebab Perintah Kawalan Pergerakan yang agak lama dan tidak boleh ke mana-mana, anxiety jadi semakin sebati dalam diri saya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, berkongsi mengenai wataknya sebagai Ayu menerusi filem Kan Cheong, Nora menganggap watak sebagai gadis naif, lembah-lembut dan penakut serta dalam masa sama seorang yang mental sebenarnya banyak menguji.
“Masalah sakit mental ini kalau kita tidak dirawat dan juga diambil perhatian betul-betul jadi itulah jadinya membunuh sampai meragut nyawa jika kita tidak di ambil perhatian. Itulah cabaran yang saya rasa untuk nak menghayati watak Ayu.
“Ini merupakan kali pertama saya berlakon dalam naskhah psiko thriller dan pembunuhan. Filem ini mengisahkan tentang Ayu yang tinggal sendirian mendengar berita mengenai empat orang pesakit mental yang lari dari hospital,” katanya lagi
Kan Cheong ditayangkan di saluran Astro First sejak 11 Ogos lalu.
Selain Nora, naskah ini juga turut dibintangi pelakon lain seperti Jay Iswazir, Niezam Zaidi dan Shima Anuar.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Nora Danish