Aktres Fasha Sandha teruja dengan pembukaan cawangan baru butik Al Faro sekali gus komited untuk sama-sama terus bekerjasama dalam memajukan jenama berkenaan pada masa depan.
Sambil meluahkan rasa syukur, Fasha turut tumpang gembira dengan perkembangan tersebut apatah lagi mereka sama-sama mencari rezeki.
“Alhamdulillah, saya gembira melihat rangkaian baharu mereka di Shah Alam dan baru-baru ini di Times Square, Kuala Lumpur. Bila dah tambah cawangan maksudnya perniagaan makin lama makin maju,” katanya.
Ditanya mengenai kepercayaan jenama-jenama popular yang percaya keberadaan Fasha sebagai duta dapat melariskan produk yang dijual, bintang ini hanya mahu memberikan memberi komitmen sebaik mungkin.
“Jika orang kata produk yang saya pegang akan laris, syukur Alhamdulillah. Sebagai duta, seperti biasa saya akan beri lebih 100 peratus komitmen.
“Saya seorang yang ‘all out’… saya bila kita tak kedekut dan bagi lebih daripada sepatutnya, ia adakah perkara yang terbaik untuk jenama itu sendiri.
“Saya mahu bekerjasama dengan jenama yang saya wakili itu bersungguh-sungguh dan secara tak langsung kita sukses bersama,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AL FARO, Farooq Ahmed Khan, berkata, langkah perluasan ini merupakan strategi pihaknya dalam memperluaskan perniagaan yang dibina sejak tahun 2007.
“Kami amat gembira dengan pembukaan cawangan baharu ini kerana secara tidak langsung ia memberi peluang kepada kami untuk berinteraksi secara dekat dengan pelanggan di pelbagai lokasi.
“Dan seperti semua tahu, komitmen kami adalah dengan menyediakan produk berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan serta memberi pengalaman beli-belah yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, jenama itu telah terpilih sebagai pemenang Asia Pacific Enterprise Awards 2023 dalam kategori Fast Enterprise Award.
Ia adalah kejayaan kedua selepas meraih Anugerah Pensijilan Pengguna Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), tahun lalu.
Malah Farooq yakin dengan perluasan rangkaian outlet baru di Shah Alam dan akan datang di Johor Bahru pula, hasil pendapatan berpotensi melebihi RM30 juta pada tahun hadapan (2024).
“Sasaran RM30 juta bukan impian kosong semata-mata tetapi penuh dengan strategi yang dibuat mengikut keadaan semasa.
“Saya yakin dengan melihatkan usahasama kerajaan yang mengambil langkah proaktif menyelesaikan kemerosotan ekonomi semasa.
“Apa-apapun kami tetap komited memberi sumbangan positif kepada pasaran Malaysia dalam mendorong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini