Hampir empat tahun tanpa single terbaru selepas Tanpa Rela, penyanyi Misha Omar kini muncul dengan naskhah terkini berjudul Masihkah Ada Rasa Itu pada awal Mac lalu.
Menerusi karya berkenaan, Misha kembali bekerjasama dengan komposer Sharon Paul yang pernah mencetus fenomena menerusi Sampai Bila, enam tahun lalu.
“Kesempurnaan sesebuah komposisi tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, malah penghayatan penyanyi turut memainkan peranan penting untuk membawa lagu tersebut terus ke depan.
“Sebagai penyanyi yang sudah lama berada dalam industri, peminat sedia maklum akan kekuatan dan kekurangan saya. Justeru, saya mencari sebuah karya yang dapat membantu dan pada masa sama, menyerlahkan lagi kekuatan serta kematangan saya.
“Sepanjang empat tahun itu, saya berusaha mencari di samping mengkaji keberagaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain untuk disesuaikan selera peminat masa kini. Bertitik tolak dari situ terlahirnya Masihkah Ada Rasa Itu?,” katanya.
Sinonim dengan karya balada, Misha bersama Sharon dibantu Que Afiq sebagai penulis lirik dan Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokalnya.
Masihkah Ada Rasa Itu, jelas Misha tetap menuntut penghayatan emosi tersendiri, sekali gus memberinya cabaran baharu kerana perlu bijak mengimbangi permainan rasa ketika menyampaikan lagu tersebut.
“Misha Omar dikenali ramai sebagai penyanyi balada yang sarat emosi. Tetapi, Masihkah Ada Rasa Itu pula menuntut saya menjadi sebaliknya apabila memerlukan saya untuk ‘mengakali’ emosi tatkala menyampaikan lagu itu supaya tidak terlalu larut dalam perasaan.
“Lagu ini membawa pendengar terkenang perkara yang sudah berlalu, namun masih belum dilepaskan sepenuhnya. Saya bersyukur dengan bantuan Syafinaz, tuntutan lagu itu dapat saya sampaikan dengan baik,” katanya.
Akur ramai pasti mengharapkan kolaborasi terbarunya bersama Sharon itu mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar Sampai Bila, Misha bagaimanapun enggan dirinya dibebani harapan besar itu.
“Saya bukan seorang yang cerewet, malah tidak pernah sesekali memberi tekanan kepada Sharon untuk menghadirkan magis dalam ciptaannya. Saya realistik, malah sentiasa percaya, kejayaan sesebuah karya turut berkait rapat dengan rezeki.
“Apa yang dapat saya katakan, sentuhan Sharon mempunyai satu sisi yang dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengar lagu ciptaannya. Sebagai komposer, Sharon sangat istimewa kerana mempunyai kelebihan itu,” katanya lagi.
Bintang asal Kelantan ini juga berterima kasih kepada Sharon dan Syafinaz sepanjang proses rakaman lagu tersebut.
“Saya seperti berada dalam dewan peperiksaan penting kerana proses merakamkan lagu baharu membentangkan pengalaman dan perjalanan berbeza untuk setiap penyanyi.
“Sharon dan Syafinaz banyak membantu mententeramkan perasaan saya sepanjang proses rakaman berlangsung. Sebagai komposer, Sharon begitu memahami dan sentiasa memberikan kata-kata semangat.
“Situasi itu mengingatkan saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Saya tidak pernah anggap diri sebagai yang terbaik. Malah, kekurangan yang ada mendesak saya supaya sentiasa memburu dan menggali ilmu untuk terus memperbaiki diri,” katanya.
Masihkah Ada Rasa Itu juga bakal menjadi lagu tema drama bersiri, Wanita Syurga lakonan Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana dan Nazim Othman yang akan menghiasi slot Akasia di TV3 sepanjang Ramadan ini.
Ia juga kini sudah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini