Memilih untuk sentiasa setia disamping isterinya, Wawa Zainal, aktor terkenal, Aeril Zafrel tidak mahu merosakkan kebahagiaan rumah tangganya gara-gara kehadiran orang ketiga.
Menurut Aeril, selain isteri, anak-anaknya juga bakal menerima kesannya sekiranya rumah tangga mereka tidak lagi harmoni.
“Soal orang ketiga ini, segalanya bergantung kepada individu itu sendiri. Perkara ini takkan berlaku kalau bertepuk sebelah tangan.
“Bagi saya pula, saya akan selamanya setia bersama Wawa. InsyaAllah, hanya ajal yang dapat memisahkan kami. Itu yang saya harapkan. Saya mohon juga para peminat doakan kesejahteraan keluarga kami.
“Anak-anak saya masih kecil. Saya selalu terfikir, kalau kami berpisah apa yang akan terjadi kepada mereka. Macam mana mereka akan membesar? Mereka pasti akan terkesan,” katanya kepada MH.
Ditanya adakah Aeril sering menerima mesej-mesej nakal di laman sosial, bapa kepada empat orang cahaya mata ini menganggap perkara tersebut sebagai normal.
“Rasanya bukan saya seorang sahaja artis yang menerima pelbagai mesej di media sosial. Ada juga yang menghantar gambar tidak senonoh.
“Saya anggap mereka ini sebagai scammer yang cuba ambil kesempatan. Dia mengharapkan kita balas perkara yang sama.
“Kemudian mereka gunakan untuk mengugut kita demi wang. Saya rasa kebanyakkan video yang tersebar itu adalah gara-gara mereka ini,” ujarnya lagi.
Aeril berkata sedemikian ketika ditemui di majlis Nona Superwoman Award 2022 yang berlangsung di M Resort & Hotel Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada masa sama, pelakon filem 7 Petala Cinta ini juga menganggap gelaran pasangan contoh yang diberikan oleh netizen sebagai satu tanggungjawab yang besar.
“Bila orang menjadikan kami ini pasangan contoh, saya anggap itu sebagai perkara positif buat hubungan kami. Ia juga ibarat satu tanggungjawab buat kami untuk sentiasa menjadi contoh yang terbaik,” katany lagi.
Berkongsi mengenai rahsia kebahagiaan, Aeril mendedahkan dia dan Wawa tidak akan bergaduh terlalu lama sekiranya mereka tidak bersependapat.
“Kita kena berperangai seperi budak-budak. Tak perlu nak terlampau serius. Sebolehnya, kita kongsilah minat yang sama. Tak sependapat itu perkara biasa.
“Kalau kami bergaduh, saya jarang pujuk. Kami akan reda sendiri. Tetapi jangan biarkan pergaduhan itu berlarutan sampai hari berikutnya,” akhirinya.
Terdahulu, Wawa merupakan salah seorang penerima anugerah Nona Superwomen 2022 bagi kategori Nona Online Entrepreneur Award.
Untuk rekod, Wawa dan Aeril mendirikan rumah tangga pada 2013.
Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata Hayla Magfiraul Adzkiyaa, Fakhruddin Attar, Ayya Soffya dan Jibril Ibtisam.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Wawa Zainal