“Saya Solo… Tak Pernah Kahwin,” – Hazrul Nizam Kongsi Bab Status, Selesa Dia Ke Depan, Famili Sokong Dari Belakang

Share

Penyanyi asal Singapura yang kini bersaing di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Hazrul Nizam mengakui sehingga kini dia masih solo dan tidak pernah mendirikan rumah tangga.

Terbuka untuk berkongsi statusnya itu kepada peminat, Hazrul bagaimana pun tidak menafikan dia sebenarnya lebih gemar untuk tidak terlalu berkongsi hal privasi.

“Saya selesa begini memandangkan saya seorang yang ‘private’, termasuk mengenai ahli keluarga dan sebagainya. Biarlah keluarga sokong saya di belakang dan saya ke depan.

“Kalau ada orang bertanya (hal peribadi) juga, kita tengoklah sejauh mana. Kalau soal status saya tak pernah kahwin, masih solo.

“Saya terbuka jugalah untuk kongsi, selagi ia tidak menyentuh mengenai ahli keluarga. Kalau libatkan saya seorang, saya okay saja,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Hazrul,42, yang kian mendapat rentak selepas menerima markah rendah pada konsert pengenalan GV9 mengakui kini lebih selesa untuk membuat persembahan tiap minggu.

“Saya sudah rasa makin selesa membuat persembabahan. Pada masa sama, ramai juga penyokong yang beri kata semangat. Jujurnya pada minggu pertama saya lakukan riviu lihat balik persembahan, betul ke aku nyanyi begitu.

“Jadi saya kena buktikan sesuatu. Minggu kedua saya betul-betul nak buat yang terbaik dari segi nyanyian dan penghayatan juga. Alhamdulillah dan saya syukur bila lagu saya dikenali sehingga ke Malaysia, memang tak sangka,” katanya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH