Susulan isu lambat menerima bayaran untuk beberapa buah program lawak terbitan sebuah stesen televisyen tempatan, pelakon dan pelawak, Atu Zero menzahirkan rasa syukur selepas mengetahui pembayaran kepada artis-artis lain telah pun dilunaskan.
Menurut Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, dia lantang menyurakan isu ini kerana mengenangkan nasib artis-artis lain yang jarang menerima tawaran bekerja.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan ramai pelakon-pelakon otai dan baharu sudah pun menerima bayaran selepas saya viralkan kisah tersebut. Ramai yang menghubungi saya untuk mengucapkan terima kasih
“Kata mereka, kalau saya tidak viralkan hal tersebut, mungkin mereka pun belum dapat bayaran. Saya bukan nak cakap yang saya ni berani dan mereka tidak tapi kita cerita fasal hak.
“Saya bukanlah tak kisah sangat mengenai duit tersebut tapi saya lebih kisahkan nasib rakan-rakan artis lain ini. Tawaran kerja mereka pun bukan selalunya ada. Siapa lagi nak tolong bersuara untuk mereka kalau bukan orang macam saya,” katanya kepada MH.
Bagaimanapun, anggota kumpulan lawak Zero ini agak terkilan selepas mengetahui hanya pembayaran bagi pihaknya sahaja yang masih belum dilunaskan.
“Kalau cerita nilai keseluruhan bagi tiga program yang saya buat, ada dalam RM30,000. Saya bukan nak buka aib sesiapa tapi ini kebenarannya.
“Kawan-kawan artis lain semuanya sudah dapat tapi cuma pembayaran saya seorang yang dibekukan. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin disebabkan saya bersuara.
“Kali ini, kalau saya bersuara lagi soal duit, apa beza saya dengan pihak di sana? Saya akan pastikan saya terima wang tersebut walaupun lambat. Saya ini jenis orang yang akan bersuara sekali sahaja.
“Kemudian, saya tak mahu panjangkan lagi. Saya ini hanya ada SPM dan tahap pendidikan mereka jauh lebih tinggi. Takkan mereka tak boleh berfikir macam saya,” katanya lagi.
Atu berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Sumpahan Malam Raya yang diadakan di GSC, NU Central, Kuala Lumpur pada Rabu.
Jelas Atu lagi, dia sendiri tidak tahu motif sebenar pihak stesen televisyen tersebut yang meminta dirinya untuk hadir ke pejabat sekiranya ingin menuntut bayaran.
“Selepas saya viralkan kisah ini pada 1 April lalu, mereka mahu membayar wang saya tapi mereka minta saya untuk datang ke pejabat. Kenapa pula begitu?
“Sedangkan sebelum ini semua pembayaran dibuat secara atas talian. Kalau betul nak bayar, bayar sahajalah. Tak perlu tahan-tahan.
“Mereka juga minta saya ke sana untuk buat permohonan maaf terbuka. Kenapa pula saya kena minta maaf?,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Atu turut menyifatkan tindakkan pihak stesen televisyen tersebut yang mengatakan dirinya seperti pepatah ‘anjing makan tuan’ sememangnya agak keterlaluan.
“Sebagai manusia, saya agak terkilan. Namun, kalau saya nak melenting pun, tida beza saya dengan mereka. Siaapa-siapa pun akan marah kalau dilabel sebegitu,” akhirinya.
Sebelum ini, Atu meluahkan rasa kecewa kerana pihak stesen televisyen berkenaan dikatakan telah kerap kali lewat membuat pembayaran daripada tarikh yang telah dijanjikan.
Lantaran itu, dia bertindak untuk menyuarakan isu ini di media sosial agar pembayaran dapat segera dilakukan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.