Isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Fezeera Nazri tidak terasa hati meskipun sudah empat tahun tidak dapat balik ke Sarawak untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
Menurut Fezeera, dia akui dirinya amat merindukan suasana di kampung halaman namun dia dan suami mempunyai alasan sendiri mengapa mereka memilih untuk beraya di Kelantan.
“Ramai yang tanya saya, tak rindu nak balik kampung ke? Kenapa tak balik kampung untuk menyambut Hari Raya? Sejujurnya, ini tahun keempat saya menyambut Hari Raya jauh dari rumah.
“Semua orang pasti merindui bagaimana kami selalu menyambut Hari Raya bersama keluarga ketika masa kecil.
“Sudah tentu saya juga merinduinya kerana menyambut Hari Raya di Sarawak sangat meriah dan seronok,” katanya.
Perkata itu dikongsikan sendiri oleh ibu kepada dua orang cahaya mata itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Pada masa sama, Fazeera turut mendedahkan antara sebab dia tidak pulang beraya di Sarawak sebelum ini kerana dia sedang hamil selain keadaan anak yang masih kecil untuk menaiki pesawat.
“Saya dan suami sudah membuat persetujuan bersama dan saling memahami. Bila kami nak memutuskan belah mana kami akan beraya, kami akan melihat setiap aspek secara rasional.
“Ketika dua tahun pertama kami sambut Hari Raya bersama, saya hamil lapan bulan (dua kali). Jadi, saya tak dapat pulang ke Sarawak untuk beraya.
“Pada tahun ketiga ini, kami memutuskan untuk sekali lagi beraya di Kelantan kerana anak-anak kami masih kecil.
“Kami risau yang kami tak dapat nak uruskan jika anak meragam di dalam penerbangan,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, keputusan seperti ini hanya akan berjaya dicapai sekiranya para suami isteri saling memahami dan hormat menghormati antara satu sama lain.
“Apapun, saya gembira dengan keputusan kami kerana ia memerlukan kesanggupan, saling hormat menghormati dan persetujuan bersama.
“Kita kena saling berkomunikasi dan faham antara satu sama lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fizo turut merakamkan ucapan terima kasih buat Fazeera dan memaklumkan mereka akan beraya di Kuching Sarawak pada tahun hadapan.
“Terima kasih sayang. Saya sangat hargainya. Tahun hadapan, giliran kita beraya di Kuching pula,” kata Fizo di ruangan komen.
Fizo dan Fazeera mendirikan rumah tangga pada Oktober 2021 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Sebelum ini Fizo pernah berkahwin dengan usahawan, Mawar Karim pada November 2013, namun bercerai pada 10 Julai 2019.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia tujuh tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Fazeera Nesry