“Minta maaf, saya terlalu lama di tengah laut,” itu seloroh peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Sham Visa apabila ditanya reaksi pertamanya sejurus selesai membuat persembahan di konsert pengenalan program realiti berkenaan, malam tadi.
Sham atau nama lengkapnya, Roshisham Hashim turut memaklumkan, situasi dulu dan kini jauh bezanya, khasnya dari segi perkembangan teknologi.
“Memang berbeza, zaman saya banyak memori sementara ketika ini semuanya bergantung dengan media sosial. Atas penerimaan yang diterima, saya akui berada pada fasa ‘culture shock’.
“Seharusnya ada perkara yang saya kena belajar dari orang-orang muda. Saya masih lagi dalam proses belajar,” katanya kepada MH.
Ditanya mengenai apakah perasaan ketika mengalunkan salah satu lagu histnya bersama kumpulan Visa, Dalam Gerimis, Sham tidak menafikan dirinya tertekan memandangkan sudah lama tidak membuat persembahan.
“Agak gementar kerana sudah agak lama tidak membuat persembahan secara langsung di hadapan penonton. Rasa agak tertekan untuk mempersembahkan ‘jiwa’ lagu itu semula agar boleh buai penonton untuk kembali pada waktu kegemilangan lagu berkenaan.
“Malah apa yang Datuk Ramli MS katakan tadi masa sidang media iaitu dia lebih ketatkan penjurian bagi yang menyanyikan lagu sendiri minggu depan, tekanan itu akan menjadi lebih kuat. Jadi saya kena kerja kuat dan cuba berikan yang terbaik, InsyaAllah.
“Pada masa sama, tanggungjawab itu menjadi lebih besar, nak bawa ‘jiwa’ lagu dengan ‘pakaian’ yang lebih moden,” jelas Sham yang turut rasa berbesar apabila penonton turut sama menyanyikan lagu berkenaan secara langsung.
Sudah meninggalkan dunia nyanyian kira-kira sejak 10 tahun lalu, Sham turut menyifatkan dirinya bertuah kerana mendapat sokongan keluarga, termasuk isteri dan dua anaknya.
“Saya sudah berkeluarga, ada isteri dan sepasang anak. Isteri seorang yang memahami dan dia turut berikan sokongan,” terangnya lagi.
Selain Sham Visa, penyanyi lain yang menyertai GV6 ialah Naqiu Boboy, Roy, Hady Mirza, Ameer Sofazr dan Jatt Black Dog Bone.
Peserta wanita pula ialah Wann, Noorshila Amin, Feeza, Mazleela dan Nurfatima serta dua berkumpulan iaitu One Nation Emcee dan Kool.
GV6 akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada pukul 9 malam setiap hari Ahad di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123.
Pengarah muzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang menjadi juri tetap sementara Ella diundang sebagai juri jemputan.
https://www.facebook.com/mediahiburan/videos/549422572483424/
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI