“Saya Sudah Menjadi Bapa Kepada Dua Cahaya Mata,” – Scha Alyahya Selamat Bersalin, Awal Ashaari Terharu Syukur

Share

Pelakon dan hos, Scha Alyahya selamat bersalin anak perempuan,kira-kira jam 9.15 pagi, hari ini di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Suami Scha yang juga pengacara, Awal Ashaari berkata, Scha dan bayi mereka dalam keadaan sihat dan baik.

“Alhamdulillah, saya sekarang sudah menjadi bapa kepada dua cahaya mata. Proses bersalin Scha juga dipermudahkan. Scha dan bayi kami dalam keadaan baik.

“Insya Allah, kalau semuanya sudah okay, Scha dan bayi akan dibenarkan keluar tidak lama lagi,” katanya.

Awal turut menzahirkan rasa syukur apabila impian mendapatkan cahaya mata kedua dimakbulkan selepas menanti hampir enam tahun selepas kelahiran anak sulung mereka, Lara Alana.

“Lama juga menanti untuk dapatkan yang kedua ini. Syukur apabila segalanya dipermudahkan.

“Insya Allah, Scha akan berpantang di rumah kami. Lara pun sudah tidak sabar nak melihat adiknya. Terima kasih atas doa semua,” katanya.

Awal dan Scha selamat bernikah pada 4 Mei 2012 dan dikurniakan anak pertama, Lara Alana yang kini berusia tujuh tahun.

Scha menerusi Instagram turut memaklumkan berita gembira itu, sebentar tadi.

Published by
MH