“Saya Sudah Rasa Bertuah Kerana…,” – Wajah Tiada Pada Poster Utama, Anak Penerbit Filem Mat Kilau Tak Rasa Dipinggirkan

Share

Pelakon Ali Karimi Abdul Rahman yang juga anak kepada penerbit Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mengakui dia tidak terasa seolah-olah dipinggirkan apabila wajahnya tidak terpampang di dalan poster utama bagi mempromosi filem berkenaan.

Ali Karimi, 32, yang membawa watak sebagai Brahim menerusi filem yang mencetuskan fenomena itu berkata, tujuan dia menyertai produksi berkenaan adalah untuk memupuk semangat kepahlawan, bukannya untuk meraih publisiti semata-mata.

“Saya sebenarnya sudah cukup rasa bertuah kerana dapat berada bersama-sama barisan pelakon lain menjayakan filem Mat Kilau untuk menyampaikan mesej perjuangan. Bagi saya, itu yang penting.

“Saya bersyukur. Pasal wajah ada atau tidak dalam medium promosi antaranya poster, saya tidak kisah sangat.

“Sejujurnya sedikit pun saya tidak berasa dipinggirkan malahan saya rasa poster dikeluarkan sebegitu juga sudah cukup menarik untuk memberi impak yang sewajarnya,” katanya.

Dia pada masa sama menambah, dirinya cukup berpuas hati meski wajah sekadar dipamerkan dalam poster khusus untuk karakter-karakter yang menjayakan Mat Kilau.

“Memang ada wajah saya pada poster untuk karakter. Itu pun saya sudah bersyukur apatah lagi poster itu secara tidak langsung  mula dikongsikan penonton,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terkini, filem epik terbitan Studio Kembara itu terus melakar sukses berterusan apabila mengaut kutipan mencecah RM50 juta selepas 11 hari tayangan di pawagam.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH