Pelakon terkenal, Zara Zya nekad untuk membuat laporan polis terhadap dua individu berkaitan kes penipuan atas talian dan gangguan seksual terhadap dirinya.
Jelas Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, laporan pertama dibuat selepas gambarnya digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan mempromosikan skim pelaburan haram.
“Anda berani buat. Jangan fikir saya tak berani untuk ambil tindakan undang-undang. Saya telah membuat laporan polis ke atas dua individu .
“Seorang yang terlibat menggunakan nama dan gambar saya dalam penipuan/scam pelaburan didalam talian Facebook (Kerja Kosong Ipoh 2023) baru baru ini,” tulisnya.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh pelakon drama Isteriku Bukan Tukang Masak itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.
Sementara itu, laporan kedua pula dibuat selepas Zara dikatakan sudah tidak tahan lagi dengan kelakuan seorang individu yang dikatakan sering menggangunya dengan menghantar mesej dan gambar berbaur lucah.
Jelas Zara, insiden tersebut telah berlaku sejak beberapa bulan yang lalu dan menyebabkan dia berasa kurang selamat.
“Laporan polis juga telah dibuat ke atas individu yang telah melakukan “sexual harrasment” ke atas saya dengan gangguan secara lisan, hantaran gambar-gambar tidak sopan dan juga panggilan yang bertubi tubi setiap malam yang mengganggu emosi saya.
“Gangguan ini berlarutan sejak beberapa bulan lepas dan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan pada saya,” kongsinya lagi.
Menerusi hantaran yang sama, Zara turut berkongsi video ramakan perbualan telefon daripada individu yang mengganggunya itu.
Individu tersebut tanpa segan silu mengeluarkan kata-kata kurang sopan selain turut memaklumkan dirinya suka melihat tubuh Zara.
Aktres itu juga mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM dan berharap dua individu tersebut menerima tindakan sewajarnya.
“Terima kasih pada pihak PDRM kerana telah mengambil keterangan saya dan saya berharap tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pelaku pelaku ini,” akhirinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan rasa risau selain turut berharap agar individu-individu berkenaan segera diberkas.
“Ya Allah, gila betul. Tak care kakakku.
“Semoga Zara sabar dalam menghadapi dugaan ini.
“Seramnya sekarang. Ramai orang tak waras.
“Kenapalah orang tidak bermoral ini masih wujud. Memang harus ambil tindakan sebab dah melampau. Tak hormat orang,” antara komen-komen netizen.
Apapun, MH doakan semoga semuanya baik-baik sahaja buat Zara dan diharapkan para pelaku segera ditangkap serta dikenakan hukuman setimpal.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Zara Zya