“Saya Suka Lelaki Yang Lebih Berusia,” – Mira Filzah

Share

Pelakon Mira Filzah yang sering dikaitkan dengan beberapa aktor lelaki khasnya Zizan Razak dan Remy Ishak sekali lagi menegaskan dirinya tidak terikat dengan sesiapa setakat ini.

Malah katanya kepada MH, dia senang bekerjasama dengan mana-mana aktor, tetapi tidaklah sehingga isi masa bersama di luar lokasi.

“Saya dengan Remy pun sekadar kawan bekerja, lepak pun tidak sebab kami hanya bertemu di set penggambaran atau di majlis hiburan. Kami tahu batasan masing-masing,” katanya.

Mengenai peminat yang cuba menjodohkan dirinya dengan mana-mana artis lelaki pula, Mira mengambil pendirian positif dan menyifatkan apa yang berlaku dalam era media sosial kini sebagai suatu lumrah.

“Mungkin kami baru sahaja selesai penggambaran bersamanya, malah beberapa drama kami sebelum ni pun berjaya dan ada yang terus suka andai kami bersama. Cuma bagi saya ia normal.

“Kalau salah seorang pelakon itu sudah berkahwin tidak pula berlaku. Kalau masing-masing masih solo ada yang cuba ‘jodohkan’. Jadi benda tu suatu benda yang biasa dalam industri,” jelas Mira yang turut mengakui Remy merupakan seorang pelakon lelaki yang baik.

Akan tetapi dia juga seorang yang agak tegas dalam beberapa perkara.

“Secara peribadi bagi saya dia okay. Tidaklah garang cuma ada ketika dia tegas dalam lakonan. Dia juga banyak membantu dan kita tahu dia seorang pelakon yang baik. Saya senang kerja dengannya.

Ramai yang suruh pilih antara Remy dan baru-baru ini dengan Zizan kembali. Tak adalah…Kalau boleh saya rasa cukup sampai itulah kot. Saya dah bagitahu banyak kali saya tidak bersama sesiapa. Tiada sesiapa lagi,” akui Mira.

Ditebak dengan persoalan mengenai lelaki yang didiamkan pelakon Pujaan Hati Kanda, dia memberitahu lebih senang mendampingi lelaki yang lebih berusia darinya.

“Kalau nak ikutkan ciri lelaki pilihan, saya suka lelaki yang lebih berusia. Saya tidak berapa dengan yang muda atau sebaya pun tidak. Tapi kebanyakan yang saya berkawan ialah mereka yang berumur sedikit.

“Lelaki berusia sebab rasanya mereka lebih matang dan pastinya kita mahukan hubungan lebih stabil. Memahami kerjaya dan seorang ada didikan agama yang cukup.

“Sebab itulah kalau boleh saya mahu lelaki yang lebih dari segi itu dari saya supaya boleh membimbing,” terangnya lagi.

Foto: Instagram Mira Filzah

Published by
Rafiq Mazlan