Susulan isu hangat membabitkan persembahannya di majlis rumah terbuka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), baru-baru ini, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan spekulasi yang mendakwa dia tidak lagi mahu membuat persembahan untuk majlis-majlis kerajaan.
Menurut Siti, sebagai anak seni yang bertanggungjawab, dia sentiasa bersedia untuk menabur bakti kepada negara ketika khidmatnya diperlukan.
“Saya tetap Siti Nurhaliza yang sama. Kita sudah matang. Saya tahu nak bezakan dan tentukan mana satu persembahan percuma dan berbayar.
“Saya tahu bila masanya untuk berbakti kepada negara, menghargai individu lain dan persembahan yang mempunyai harga,” katanya kepada MH.
Siti berkata sedemikian ketika ditamui di majlis tayangan perdana filem Telaga Suriram yang di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Khamis.
Baru-baru ini, nama penyanyi lagu Cindai itu menjadi perhatian ramai selepas dia didakwa menerima bayaran yang besar untuk membuat persembahan di rumah terbuka KKM.
Bagaimanapun, Siti menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan kehadirannya di majlis rasmi berkenaan hanyalah diatas kapasiti sebagai tetamu biasa dan bukannya VIP atau artis yang membuat persembahan.
Katanya lagi, dia membuat persembahan tersebut kerana mahu menghargai warga KKM atas kerelaan hati dan tanpa bayaran.
Ditanya sama ada beliau terkilan dengan isu yang berlaku ini, Siti menyifatkan ia adalah asam garam dan lumrah sebagai anak seni.
“Saya tidak merajuk. Pada saya, ini adalah perkara biasa dan lumrah anak seni,” katanya lagi.
Sementara itu, Siti turut sama teruja untuk terlibat di dalam filem Telaga Suriram arahan pengarah terkenal, Osman Ali sebagai penyanyi lagu runut bunyi yang berjudul, Sesal.
“Bila saya diberikan tawaran untuk menyanyikan lagu runut bunyi filem Telaga Suriram, saya merasakan ini satu penghormatan juga.
“Kita semua tahu tentang kehebatan karya-karya daripada Osman Ali. Sudah lama dia memujuk untuk saya menjayakan projek ini. Alhamdulillah saya bersetuju dan waktunya juga sesuai.
“Saya banyak bermain dengan emosi. Osman mahu saya menyanyi dalam keadaan merintih dan sedih,” akhirinya.
Telaga Suriram arahan Osman Ali bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Mei ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini