Pelakon dan pengacara, Elly Mazlein masih berteka-teki mengenai dirinya yang didakwa sedang berbadan dua sebagai mana yang diperkatakan peminat kebelakangan ini.
Menurut Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 41, dia tidak akan berahsia sebaliknya akan mengumumkan di platform media sosial sekiranya benar dia sedang hamil anak kedua.
“Saya tahu ramai sayang dan selalu mendoakan saya. Bila dah sampai masa dan dah confirm, saya akan kongsikan berita gembira itu di Instagram.
“Ia untuk cuba berlaku adil kepada semua pihak media yang sentiasa menyokong saya,” katanya kepada MH.
Penyanyi Dusta Cinta itu ditemui pada majlis pelancaran Program Ramadan Astro Buka Lembaran Baharu 2021 di Astro Bukit Jalil, pada Selasa.
Pada masa sama, Elly mendedahkan reaksi anaknya perempuannya, Putri Sara Sefhia yang turut menyuarakan hasrat untuk mempunyai adik.
“Sefhia memang dah lama tanya pasal nak adik dan peminat pun nak tengok anak bersama suami.
“Kalau betul-betul ada (hamil), saya akan beritahu. Bukan sebab nak tunggu dah masuk bulan ketiga atau bulan keempat baharu nak umum atau apa,” ujarnya lagi.
Sebelum ini tular spekulasi Elly kini sedang hamil selepas sebuah video menerusi akaun TikTok Suria FM yang menampakkan seolah-olah kelihatan baby bump.
Elly berkahwin dengan Muhammad Azlan Che Nuh, 31, pada 18 Januari tahun lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Elly sebelum ini pernah berkahwin dengan pengarah drama Azmi Hatta pada 9 November 2014 sebelum bercerai pada 15 Oktober 2015.
Hasil perkahwinan itu Elly dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia yang kini berusia lima tahun.