“Saya Tak Ada Kena-Mengena,” – Putra Amaris Jual Minyak Wangi, Bukan Jongkong Emas Palsu!

Share

Pelakon dan usahawan, terkejut besar dan sekali gus Putra Amaris menafikan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya, dirinya ada terlibat dengan dengan bisnes jongkong emas baru-baru ini.

Lebih merumitkan keadaan, dakwaan yang dilakukan beberapa individu terhadap bapa kepada seorang cahaya mata itu secara langsung menjejaskan nama, apatah lagi turut melibatkan penipuan terhadap beberapa pembeli.

Lalu menerusi Instagram, Amaris ada mendedahkan beberapa kiriman mesej berkaitan, membayangkan dirinya telah menipu dengan menjual jongkong emas palsu.

Kesal dengan situasi yang berlaku, Amaris tidak tahu dari mana dakwaan itu muncul yang seterusnya terkait dengan diri.

Menurutnya, hal berkenaan sudah pun didengarinya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Apa yang boleh saya katakan, hal ini mendatangkan aura negatif dan tindakan itu boleh membuatkan orang ramai keliru. Paling teruk, ia secara tak langsung boleh menjejaskan reputasi saya sebagai pelakon dan usahawan.

“Malah turut memberi kesan buruk kepada nama baik keluarga,” tegasya ketika ditemui.

“Saya memang tak ada kena mengena dengan bisnes jongkong emas. Saya berharap tuduhan negatif seperti ini dapat dihentikan. Tak mahu ada orang salah faham  memandangkan saya ada melakukan berkolaborasi dengan jenama wangian Francesc Fragrance sekarang.

“Kami menghasilkan minyak wangi Francesc Fragrance x Putra Amaris dan kebetulan, kami menggunakan warna emas dan bentuk botolnya berbentuk seperti jongkong emas,” kata Amaris.

Ditanya sama ada dia turut membalas teks yang diberikan kepadanya mengenai hal tersebut, Amaris mengambil pendirian untuk tidak menjawab apa-apa, bimbang ia bakal mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya tidak tahu berapa nilai yang mereka rugi, sebagaimana yang didakwa dan saya tidak balas atau buka laki teks yang diberikan.

“Saya tidak mahu stress kerana ia tidak betul sama sekali dan rasanya saya mengamvil langkah bijak untuk tidak menjawab risau andai ia akan disalah ertikan. Saya sendiri ada mengambil pandangan daripada beberapa pihak terhadap isu ini.

“Saya tidak mahu bawa ia ketengah, cuma apabila saya sudah berikan penjelasan ini menerusi media, harapnya ia jelas dan saya bukan individu seperti mana yang didakwa. Ia memang tak benar,” jelasnya lagi yang tidak mahu ada lagi yang tertipu.

“Apa yang penting, saya tak mahu ramai pihak tertipu. Saya hanya menjual wangian Francesc Fragrance x Putra Amaris yang berbentuk jongkong emas, bukanlah jongkong emas seperti yang didakwa,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, bintang yang bakal muncul menerusi filem Ratu Kala Hengking ini turut giat mengusahakan perniagaan ‘portuguese egg tart’ yang diberi nama Amaris MyTart bersama isteri.

“Alhamdulillah, perniagaan tersebut mendapat sambutan positif, kami sedang dalam perancangan untuk meluaskan lagi rangkaian perniagaan Amaris MyTart.

“Setakat ini, Amaris MyTart boleh didapati di laman Instagram @amarismytart dan kiosk di pasar raya ST Rosyam Mart di Setiawangsa,” harap Amaris optimis.

Foto: Instagram Amaris

Published by
Rafiq Mazlan