“Saya Tak Ada Pilihan”. Itu kata pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi selepas membuat keputusan memotong jari kelingking kanannya demi meneruskan karier dalam sukan permotoran dua roda.
Menurut laporan Berita Harian, meski Khairul telah pun menjalani beberapa siri pembedahan bagi membetulkan struktur jarinya itu sebelum ini, namun kecederaan yang dialaminya sejak 2019 itu ternyata memberi kesan terhadap prestasi semasanya.
Oleh itu, pelumba yang terkenal dengan jolokan ‘SuperKIP’ itu terpaksa mengambil keputusan nekad apabila kecederaannya itu berulang kembali di Grand Prix (GP) Republik Czech awal bulan lalu.
“Saya okey selepas pembedahan dan jari saya daripada tahun lalu, tak boleh bengkok kerana ada skru. Saya jatuh di Brno (GP Republik Czech), jari saya retak, jadi saya tak ada pilihan bagi masa depan.
“Bagi saya, sekiranya saya mengekalkan jari ini, kalau terjatuh atau berlaku apa-apa, agak mudah untuk ia kembali patah. Apapun, saya sudah berbincang dengan pasukan sebelum membuat keputusan ini.
“Memang satu keputusan sukar untuk memotong jari saya tetapi demi masa depan, saya cuba yang terbaik bagi meningkatkan lagi keserasian ketika menunggang,” katanya seperti yang dipetik.
Dalam pada itu, pelumba pasukan Moto3 PETRONAS Sprinta Racing itu turut berharap agar prestasinya akan kembali pulih selepas ini.
“Seperti sebelum ini ketika jari lurus (tak boleh bengkok), saya selalu juga memikirkan sekiranya jatuh, tentunya akan ada masalah dengan jari itu. Jadi saya perlu sentiasa berhati-hati.
“Sekarang ini, saya harap tidak akan ada gangguan lagi pada jari dan saya akan berjumpa dengan doktor selepas ini untuk melihat keadaannya. Saya harap ia dapat pulih dengan cepat bagi membolehkan saya memberi tumpuan kepada latihan dan juga perlumbaan seterusnya di Misano nanti.
“Saya akan cuba yang terbaik dan ini yang terakhir bagi masalah jari dan harap selepas ini tidak ada lagi masalah untuk saya memberi tumpuan kepada perlumbaan,” katanya.
Terbaru menerusi ruangan di IG Story, Khairul ada berkongsi keadaan terkini jarinya itu selepas berjaya menjalani pembedahan lima hari yang lalu.
Malah, Khairul turut dilihat telah pun kembali menjalani aktiviti latihan ringan bersama rakan sepasukannya yang lain.
Sumber: Instagram Khairul Idham Pawi & Berita Harian