Pelakon senior, Datin Sofia Jane kini lebih mengutamakan soal penjagaan kesihatan bagi memastikan dirinya kekal cergas untuk bergelar pelakon dan menjalani tempoh penggambaran yang panjang.
Menurut Sofia, ramai yang obses tentang kecantikan dan awet muda tetapi perkara itu tidak akan mampu dicapai sekiranya tahap kesihatan merudum.
“Ketika ini, seperti menjadi satu obsesi orang ramai bila kita bercakap soal pengekalan kecantikan.
“Saya merasakan pada usia saya sekarang, apa yang membuatkan saya terus melangkah adalah tahap kesihatan saya sendiri.
“Kalau saya ingin bekerja lebih lama lagi, saya mesti sihat secara mental dan fizikal. Pada ketika ini, itulah yang menjadi keutamaan saya.
“Kalau anda cakap saya cantik, terima kasih,” katanya kepada MH.
Sofia berkata sedemikian ketika ditemui di set penggambaran drama One Cent Thief 2 di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sofia turut menasihati rakan-rakan pelakon untuk bijak membahagikan masa badan memperoleh rehat yang cukup.
“Buat wanita seusia saya terutamanya yang berkecimpung dalam dunia seni, tahap kesihatan kita kena sentiasa berada di tahap terbaik.
“Waktu kerja kita bukan dari 9 pagi hingga 5 petang. Kita kerja siang dan malam serta waktu yang tidak menentu.
“Malah, kesedaran terhadap kesihatan mental juga penting. Kerja kita memerlukan kita belajar, membaca dan memahami skrip. Ada banyak perkara yang kita perlu proses,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai rutin penjagaan kesihatan, dia memaklumkan pemakanan juga merupakan aspek yang penting.
“Setiap hari, bila saya bangun, saya akan pergi ke gimnasium untuk bersenam dan mengangkat beban.
“Saya juga amalkan makanan yang sesihat mungkin. Sudah lama saya tidak ambil makanan berproses dan makanan segera.
“Pada saya, untuk mencapai semua ini hanyalah asas dan sangat mudah tapi ramai yang tidak percaya,” akhirinya.
Terdahulu, Sofia bakal kembali membintangi drama One Cent Thief 2 bersama pelakon-pelakon lain seperti Syafiq Kyle, Azira Syafinaz, Fabian Loo dan Syarul Ezani.
One Cent Thief 2 dijadualkan akan ditayangkan pada Januari 2025.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.