Pelakon Redza Rosli terbuka untuk digandingkan bersama mana-mana pelakon baik yang telah lama atau yang masih baru.
Baginya, dia lebih senang untuk mencuba perkara baru selain mahu keluar dari zon selesa.
Redza, 29, menambah setiap pelakon baru perlu berdepan dengan proses untuk matangkan diri dalam lakonan, sebagaimana situasi yang dihadapinya sebelum ini.
“Kadang-kadang saya tidak boleh juga berada di dalam zon selesa apabila digandingkan dengan pelakon sudah ‘established’.
“Kalau sebelum ini saya memang banyak kerjasama dengan pelakon lama, jadi mengapa tidak untuk cuba berlakon dengan mereka yang baru jadi pelakon berbanding saya.
“Mungkin daripada situ, penonton mahu melihat kelainan. Saya okay cuma saya faham bila bergandingan dengan pelakon baru. Saya pun bermula dengan ‘kosong’. Itu ialah proses pembelajaran,” katanya kepada MH.
Mendukung watak sebagai Mustaqim menerusi drama Tak Sempurna Mencintaimu yang kini bersiaran menerusi slot Akasia di TV3, Redza pada masa sama turut mengharapkan agar mereka yang masih lagi ‘hijau’ dalam industri supaya rajin belajar dan usaha.
“Jujurnya, pelakon baru yang terlibat di dalam produksi Tak Sempurna Mencintaimu ini tahu kerja masing-masing.
“Mereka rajin dan mahu belajar dan itulah yang sebaiknya. Teguran pun bukanlah kita nak pentingkan diri tetapi ia lebih kepada kongsikan ilmu.
“Saya tidaklah terlalu lama dalam industri, tapi pengalaman yang ada itu tak salah untuk berkongsi.
“Untuk hidupkan satu babak mungkin agak sukar bila digandingan dengan pelakon baru. Macam saya, malam sebelum shooting saya sudah sedia dengan babak apa yang perlu dilakukan dan sebagainya. Jadi bila set, saya hanya tanya babak apa sebab saya susah hafal.
“Jadi buat pelakon baru bagi saya mereka perlu lebih fokus kepada ‘homework’. Bagi saya semua orang boleh berlakon atau lontarkan dialog, tapi bukan semua yang boleh ‘rasa jiwa’ itu,” katanya lagi.
Foto: Instagram Redza Rosli