Penyanyi popular, Wany Hasrita mendedahkan dirinya telah mengambil pendekatan untuk berhenti seketika daripada menggunakan platform media sosial bagi memberi ruang buat dirinya untuk berehat.
Menurut Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, tahun 2021 sememangnya telah memberikannya banyak pengajaran terutamanya menerusi fasa jatuh dan bangun.
Katanya lagi, waktu yang terluang itu telah dimanfaatkan dengan menyertai aktiviti berkhemah di hutan.
“Tahun 2021 saya dipenuhi dengan fasa jatuh dan bangun. Banyak sebenarnya perkara yang saya belajar.
“Apa yang membuatkan saya berasa agak ‘down’ itu ada berkait rapat dengan hal peribadi saya. Iman seseorang itu pun boleh naik dan turun, ini kan pula mental manusia.
“Baru-baru ini pun, saya ambil keputusan untuk berehat setika daripada menggunakan media sosial tetapi tidaklah lama sangat sebab saya pun ada tuntutan kerja,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu, Pedas itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran produk Flavettes Nutriskincare yang berlangsung di Vogue Lounge, Menara Suezcap 1, Bangsar pada Rabu.
Enggan mengulas lanjut mengenai sebab utama dia berehat seketika daripada media sosial, Wany menyifatkan perkara tersebut sebenarnya terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum.
“Lebih kurang empat hari saya deactivate akaun media sosial. Kemudian saya buat aktiviti masuk ke hutan untuk program perkhemahan. Di situ saya berehat seketika dan tenangkan diri.
“Sebenarnya, setiap perkara yang berlaku pasti ada penyebabnya. Apa yang buatkan saya ‘trigger’, saya tak boleh nak kongsikan kerana ia melibatkan hal yang sangat sensitif.
“Antara sebab lain mungkin saya terlampau fokus pada kerja sampai tiada masa untuk beri perhatian pada diri sendiri. Mungkin ini masanya untuk saya mengasingkan diri sekejap dan kemudian kembali semula dengan fresh start,” kongsinya lagi.
Ketika ditanya adakah media sosial ini merupakan platform yang sangat toksik, ini reaksi balas yang dikongsikan oleh pemenang anugerah Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu;
“Nak kata media sosial saya ni toksik pun tak juga sebenarnya. Saya jarang menerima komen-komen yang buruk melainkan ada benda yang saya buat.
“Jadi, pada hari-hari biasa saya jarang dapat komen-komen negatif atau kutukan. Saya sangat bersyukur dengan perkara tersebut. Saya cuma ingin berehat dan tenangkan diri buat seketika,” akhirninya.
Dalam perkembangan lain, Wany bakal melancarkan single terbarunya yang berjudul Sang Purnama hasil kolaborasi bersama penyanyi Wani Syaz.
Malah, lagu duet Tragedi Cinta yang merupakan dendangan asal Achik Spin dan Siti Nordiana yang kini dinyanyikan semula Wany dan Tajul telah pun trending di tangga ke-7 di platform YouTube.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.