Rasa tercuit dan dalam masa yang sama agak kesian apabila terbaca satu artikel mengenai pengakuan penyanyi yang terkenal dengan suara serak-serak basahnya, Stacy Anam di sebuah portal hiburan tempatan.
Menurutnya, sejak melahirkan anak pertama hasil perkongsian hidup bersama penyanyi Akim Ahmad, Stacy telah menolak beberapa tawaran untuk membuat persembahan.
BACA: Warnakan Rambut Seperti Unicorn, Stacy Dikecam
Penyanyi kelahiran Sabah ini berkata mengaku suaranya agak berubah sejak Februari yang lalu dan adakalanya kedengaran seperti lelaki.
“Saya tak boleh menyanyi. Suara saya tak sama seperti sebelum berehat dan kadangkala apabila menyanyi, suara saya kedengaran seperti lelaki.
“Hampir setahun lebih saya bercuti. Pada awalnya, saya ingatkan segalanya akan sama seperti biasa. Tak terfikir pula apabila saya berhenti menyanyi, kebolehan itu akan hilang,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia sudah cuba beberapa cara dan cari jalan penyelesaian untuk kembalikan vokal seperti sebelum bergelar ibu sehingga sanggup mengambil kelas vokal dan beli set karaoke di rumah untuk berlatih menyanyi namun usaha tersebut dikatakan gagal.
“Saya ingatkan ‘kehilangan’ itu merupakan satu kesan selepas bersalin. Saya mencuba pelbagai alternatif sendiri untuk mendapatkan kembali suara saya. Saya pergi ke kelas vokal dan saya menghadiri kelas tarian.
“Hampir tujuh bulan saya mencuba untuk kembali mendapatkan suara saya sehingga suami saya membelikan set karaoke di rumah agar saya kembali boleh menyanyi tapi semua usaha gagal,” katanya lagi kepada Astro Gempak.
Bagaimanapun, kini penyanyi ini sedang berusaha untuk mengembalikan suara dan rentak tariannya seperti dahulu kembali.
Apapun, MH Online harap Stacy akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian dan kuat untuk meneruskan usahanya.
Sumber : Astro Gempak