Penyanyi Datin Alyah tampil berkongsi pengalaman umrah sebelum ini yang banyak dipengaruhi pelbagai rasa yang sekali gus memberi banyak iktibar serta manfaat kepada dirinya tatkala menjekakkan kaki ke Tanah Suci.
Alyah berkata, pengalaman seumpamanya turut dicurahkan dalam bait lagu terbaharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Kemudian kali kedua bila sekali lagi berpeluang, saya sudah ada pengalaman daripada umrah terdahulu. Ketika itulah saya rasa macam nak tinggal di hotel yang mahal, naik penerbangan kelas pertama, nak selfie dan sebagainya.
“Saya tak cakap mengenai orang lain, tetapi apa yang berlaku kepada diri sendiri. Kali ketiga, ia lebih kepada berkawan-berkawan.
“Bila saya teringin sangat ke Tanah Suci namun tiada peluang susulan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika itu ia membuatkan saya tersedar khilaf.
“Ia ibarat peringatan kepada diri sendiri, bila Allah berikan peluang (tunai umrah) hargai sebaiknya. Saya masih ingat, beberapa hari sebelum berangkat, saya juga disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian kendiri,” katanya kepada MH.
Isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS ini turut menambah, umrah kali ini lebih bermakna apabila dia berpeluang melakukan penggambaran untuk single baharunya di Dubai terlebih dahulu sebelum berangkat ke Tanah Suci pada bulan Ramadan.
“Lalu bila orang tanya bila nak berangkat, saya jadi bimbang untuk berkongsi lebih atau beriya-iya. Lebih setahun ia tertunda. Sebab itulah kita yang merancang, tetapi Allah yang menentukan.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Saya juga mendoakan segala apa yang baik kepada semua orang, insya-Allah,” katanya lagi.
Alyah berkata demikian ketika ditemui pada majlis The Enchanted Roos Garden x Roos Scarves di Bangi, baru-baru ini.
Selain Alyah, Adira turut diundang bagi menyampaikan beberapa buah lagu.
Sementara itu, pemilik Roos Scarves, Safiudin Nordin menjelaskan idea untuk membina jenama tudung Roos Scarves terlintas selepas pandemik iaitu pada hujung tahun 2021.
Ketika itu isterinya, Siti Afiqah Hamzah banyak menghabiskan masa menanam bunga Ros dari pelbagai jenis.
“Dalam tempoh lebih setahun mendekati dan mengamati bunga ros yang berkembang dengan pelbagai warna, rupa dan jenis itu membuatkan kami terfikir kenapa tidak diadaptasikan kecantikan ros itu atas sehelai tudung.
“Perkataan Roos itu diambil dari bahasa Dutch yang pastinya membawa maksud bunga mawar,” katanya yang tampil melancarkan tudung berkenaan secara eksklusif selepas yakin dengan kekuatan jenama mereka di pasaran.
Safiudin menambah, keistimewaan Roos Scarves terletak pada setiap corak yang berinspirasikan ros sebenar akan dilukis terlebih dahulu sebelum diolah dan dicetak pada skarf.
“Kesan monogram dan perincian corak serta warna dipilih berdasarkan ‘pantone’ terkini yang kemudiannya diadun bersama dengan rekaan, menjadikan corak yang terhasil sangat eksklusif dan tiada di pasaran lainnya,” katanya lagi.
Pada majlis pelancaran itu, Roos Scarves turut memperkenalkan dua koleksi baru iaitu Fairy dan Popcorn Series. Ia adalah koleksi yang diilhamkan daripada The Fairy Rose dan juga Gourmet Popcorn Rose.
Roos Scarves yang membawa tagline “Bloom of beauty” juga dalam perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan di negara ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.