Penyanyi, Imran Ajmain mendedahkan dirinya mempunyai sebab yang tersendiri mengapa dia menolak untuk menyertai program realiti nyanyian popular, Gegar Vaganza.
Jelas Imran, dia sebenarnya tidak biasa untuk berada di dalam suasana yang kompetatif lebih-lebih lagi untuk bersaing dengan para peserta lain.
Katanya lagi, situasi tersebut akan meletakkan dirinya di dalam keadaan tertekan dan mengalami keresahan.
“Sejujurnya saya ini bukanlah seorang yang kompetatif. Semasa pembabitan awal di dalam dunia seni, saya bukan lahir daripada program pertandingan realiti. Saya tak biasa dengan dunia yang berlumba-lumba.
“Jadi, kalau nak letakkan saya dalam satu pertandingan, saya rasa tahap stresnya nanti akan terlalu tinggi untuk saya.
“Kalau tersingkir di minggu pertama saya boleh terima. Tapi kalau berjaya mengharungi minggu-minggu berikutnya, rasanya saya tak dapat nak kawal rasa resah (anxiety) atau perasaan gementar di atas pentas,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu, Seribu Tahun ini berkata sedemikian ketika ditemui media di program Aya Real Food di Suka Sucre Bistro, Kuala Lumpur pada Selasa.
Meskipun tidak terlibat secara langsung, Imran memaklumkan dia akan sentiasa menunjukkan sokongannya terhadap program yang telah menaikkan semula nama-nama artis senior tanah air itu.
“Saya ini seorang yang sangat tenang dan damai. Saya sukakan suasana yang ‘chill’ dan muzik saya pun begitu juga.
“Lantas, kalau saya diletakkan di dalam situasi yang dicabar untuk menyanyikan bermacam jenis genre lagu, saya rasa saya tidak layak.
“Sebagai penonton saya sangat sukakan program Gegar Vaganza. Tahun lepas, ramai kawan-kawan saya yang mengambil bahagian dan lagu-lagu saya juga telah kerap kali dinyanyikan.
“Setiap kali ada peserta yang menyanyikan lagu saya, pihak GV akan menjemput saya. Itu satu penghormatan yang sangat saya hargai,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya adakah dia pernah menerima tawaran untuk menyertai program GV, ini reaksi yang diberikan oleh Imran;
“Saya memang pernah ditawarkan untuk menyertai program GV. Sejujurnya daripada musim-musim awal lagi tapi saya rasa pihak produksi GV tahu jenis peserta yang mereka inginkan.
“Bila saya cakap yang saya tidak layak, mereka pun tidak memaksa. GV ini merupakan program yang sangat besar bagi industri seni kita. Semua yang ambil bahagian pasti akan dikenali. Ia sama seperti Akademi Fantasia. Untuk gugurkan ‘AF’ di belakang nama tu memang susah,” kongsinya lagi.
Selain aktif menyanyi, Imran juga kini sedang sibuk menguruskan bisnes agensi kreatif miliknya sendri yang memberi fokus kepada khidmat penghasilan video, foto, seni reka grafik dan pengurusan sosial media.