Sudah menjadi trend di kalangan artis baru yang memberi nafas semula terhadap lagu-lagu yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu.
Beberapa percubaan yang dilakukan artis BBNU sebelum ini ada yang dilihat berjaya dan ada juga sebaliknya.
Diminta mengulas mengenai trend tersebut, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengatakan dia tidak mempunyai masalah sekiranya ada mana-mana penyanyi mahu menyanyikan semula lagunya.
“Saya tak menghalang bila orang nak menyanyi semula lagu saya. Saya suka kalau ada mereka nak cuba nyanyi dengan cara mereka tersendiri, tapi perlu hati-hati juga sebab kadang-kadang yang sangat sensitif adalah peminat-peminat serta orang yang menilai nyanyian dia.
“Sudah tentu saya nak orang nyanyi lagu saya dengan baik dan bagus, itu sahaja.
“Sama juga dengan kalau saya nak nyanyi lagu-lagu artis lain yang memang popular atau idola saya. Saya mesti nak (kena) hormati karya mereka.
“(Yang penting) yang kita nyanyikan itu, kita tahu macam mana nak hormat karya orang lain,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, sebagai penyanyi yang lebih senior, Siti turut memberikan pesanan kepada pendatang baharu untuk pergi ke kelas vokal dan kerap membuat latihan sebagai persiapan untuk menyanyikan lagu mereka secara ‘live’.
“Walaupun sudah biasa menyanyi, tapi apabila ada satu lagu yang memang tiba-tiba meletup dan kena menyanyi ‘live’, perasaan gementar memang tinggi. Jadi, kalau artis baru dia kena hadapi perkara ini dengan tenang.
“Memang betul kita sudah menyanyi sedap dalam studio. Orang nak dengar kita nyanyi ‘live’ tu lebih sedap atau sebaliknya.
“Memang kena bersedia mental fizikal… jadi, kena selalu berlatih untuk melancarkan setiap nyanyian.
“Tak salah ke kelas vokal. Kadang teknik nyanyian kita tak belajar dan apabila sudah belajar baru kita tahu teknik yang boleh membantu nyanyian kita,” kata Siti lagi.
Sementara itu, Siti bakal menjayakan konsert amal, Music of The Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan berlangsung pada 5 dan 6 November depan di Dewan Planery, KLCC.
Konsert yang turut menampilkan penyanyi jemputan khas, Datuk Awie itu bertujuan untuk mengumpul dana yayasan amal, Yayasan Nurjiwa yang diasaskan oleh Siti bersama Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.
Semua hasil jualan tiket showcase itu akan disalurkan kepada yayasan tersebut.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.