Pelakon jelita Nora Danish tidak risau soal rezeki di dalam industri seni tanah air meskipun kini telah memutuskan untuk berhijrah dan mengenakan hijab.
Menurut Nora, industri seni ketika ini sudah semakin terbuka dan dia tetap percaya dengan rezeki yang telah diaturkan Allah SWT.
“Saya tak pernah terfikir pun soal itu. Pada saya, industri kita ketika ini sangat terbuka dengan mereka yang berhijab. Peluang juga sudah semakin meluas.
“Ketika fasa-fasa terdetik nak berhijab, saya juga tidak lagi melakonkan adegan-adegan bersentuhan ketika penggambaran.
“Saya tak percaya bila ada yang kata peluang dan rezeki kita akan berkurang selepas berhijab. Rezeki ada di mana-mana,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, Nora turut memaklumkan dirinya kini tidak lagi mengejar kemewahan dunia sebaliknya mahu mensyukuri nikmat pemberian Allah SWT.
“Memang benar. Saya tidak lagi mengejar populariti. Pada usia sekarang, Allah sudah kurniakan rezeki yang tidak putus-putus buat saya.
“Apa yang saya nak, Allah sudah tunaikan. Walaupun saya bercerai, Allah buatkan saya mudah lupa pada kesedihan. Mungin itu kurniaan Allah buat saya. Saya jadi cepat move on.
“Apa sahaja dugaan menimpa, saya tetap boleh menempuhinya. Jadi, apa lagi yang saya nak? Allah sudah bagi macam-macam.
“Saya sudah tidak mengharapkan apa-apa lagi di dunia ini. Fokus saya kini hanya pada Allah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ibu kepada dua orang cahaya mata ini mengakui cabaran untuk istiqomah iti bukan mudah namun dia berharap agar semua pihak dapat menitipkan doa yang baik buat dirinya.
“Saya kini memang banyakkan berdoa. Itu sahaja yang penting ketika ini. Ramai juga rakan-rakan artis yang berkongsi doa untuk terus istiqomah.
“Sejak sebelum berhijab lagi, bila melihat rakan-rakan yang tewas (buka hijab), saya juga faham situasi mereka.
“Bila kita nak buat kebaikkan, memang banyak dugaan. Rakan-rakan saya juga kata begitu. Saya harap anda semua boleh mendoakan saya supaya terus beristiqomah,” akhirinya.
Dalam pada itu, Nora berkongsi keterujaannya apabila dapat bekerjasama dalam projek drama bersiri Perang Nasi Dagang siaran Astro Warna.
Nora berkata, dia seronok sepanjang terbabit dalam penggambaran drama terbitan Red Bean Production.
“Berpeluang bekerja di bawah arahan Fazlisham Mat Hussin (Issey), saya seronok kerana kami saling berkongsi idea dan cuba menjayakan watak sebaik mungkin,” katanya.
Drama bersiri lapan episod ini ditayangkan bermula hari ini di saluran Astro Warna.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.