Bandi Amuk menjadi bintang keempat tersingkir pada konsert ketujuh Gegar Vaganza 8 (GV8) yang berlangsung Ahad lalu, pada saingan konsert minggu ketujuh.
Meski gagal meneruskan saingan menerusi program itu, Bandi atau nama sebenarnya, Nasabandi Jumat bagaimanapun berlapang dada dan positif.
“Saya tak kisah pun sebab saya sudah berikan yang terbaik pada hari ini, sekadar termampu. Saya pun tak sedih tersingkir sebab saya tahu keupayaan saya setakat mana.
“Saya berpegang pada prinsip saya dan mungkin saya tak sesuai nyanyi dengan ton (suara) yang bukan-bukan. Tapi tak bermakna saya tak boleh buat, cuma saya dah lama tinggal.
“Juri punyai pendapat dan saya menyokong, bersetuju sebulat suara.
“Lagipun saya menganggap Tok Ram (Ramli MS) sebagai kilang ilmu. Saya bersetuju dengan keputusannya dan dia yang mengajar saya untuk menjadi lebih bagus.
“Kalau duduk dengan dia, saya dah anggap seperti bapa saya sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Bandi turut mengakui, hasratnya untuk membuka topeng sekiranya berada di pentas final tidak kesampaian.
“Saya tak umpan apa-apa, saya memang ada pasang niat kalau berada di top 3 sebagai hadiah kepada peminat yang sudah lama menyokong saya. Tapi Allah tak izinkan.
“Mungkin sampai tahap ini, jadi niat itu terkubur. GV sebuah program besar dan kalau nak buat sesuatu biarlah semua orang tahu siapa saya.
“Tapi selepas menyatakan hasrat untuk membuka topeng, ramai yang marah dan minta jangan buka. Buat apa nak gadaikan aset saya, ini trademark saya sejak sekian lama. Jadi saya pun terfikir balik,” katanya.
Jelasnya lagi, prinsip perjuangan Amuk sudah sebati dan menjadi sebahagian daripada hidupnya, lalu agak sukar baginya untuk menukar hala tuju muzik dan minatnya.
“Apa yang saya perjuangkan bersama Amuk dari dulu sampai sekarang terlalu besar. Nak saya menyanyi dengan stail berbeza rasanya sedikit sulit.
“Saya tak belajar dari mana-mana dan saya berpegang dengan apa yang saya buat. Bersama Amuk, saya bangga! Walau tujuh minggu dalam GV8, sejarah bersama Amuk saya takkan korbankan,” katanya lagi.,
Bandi mendapat markah paling rendah iaitu 53.80 peratus.
GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Foto: Astro (Azrul Rafie)
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI