Usahawan terkenal, Datin Rita Sosilawati mengumumkan dirinya bakal menerbitkan filemnya sendiri tidak lama lagi.
Menurut Rita, segala persediaan telah pun dia lakukan bagi mempersiapkan dirinya untuk menjadi seorang produser yang baik dan berilmu.
“Saya masih lagi dalam proses pembelajaran kerana saya tidak mahu membuat sesuatu perkara itu tanpa ilmu. Saya tak nak main terjah sahaja. Saya akan sentiasa mengkaji dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Pemilihan genre filem masih lagi di peringkat perbincangan. Sudah ada dua hingga tiga jenis genre yang kami sedang pertimbangkan. Sekiranya tiada aral melintang, filem tersebut akan ditayangkan pada tahun ini atau tahun hadapan,” katanya kepada MH.
Ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkata sedemikian dalam satu temuramah bersama MH baru-baru ini.
Katanya lagi, dia juga sudah bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan selepas menerbitkan filemnya nanti.
“Saya sedar akan situasi bisnes panggung wayang yang tidak menentu sejak fasa pandemik ini. Tetapi sebelum filem saya dilancarkan nanti, sudah pasti pihak saya akan mengakaji terlebih dahulu.
“Kalau tidak ditayangkan di panggung wayang, mungkin filem saya nanti boleh ditayangkan di platform-platform penstriman. Kalau filem itu tak dapat jual pun, kita akan fikir cara untuk survive supaya dapat balik modal. Saya juga seorang usahawan dan sudah tentu saya nakkan keuntungan.
“Pembikinan filem memang memakan kos yang tinggi tetapi saya akan tetap mengutamakan kualiti dan mengikut kehendak saya. Saya tidak mahu hanya sekadar membuang duit semata-mata nak keluarkan filem.
“Hujungnya nanti saya juga yang menanggung akibatnya,” katanya yang menjadikan Datuk Yusof Haslam sebagai idola di dalam dunia penerbitan filem.
Ketika ditanya adakah dia sudah bersedia untuk dikritik andai ada mana-mana pihak yang kurang senang tentang penglibatannya didalam industri filem, Rita menjawab perkara seperti itu sudah menjadi lumrah buat dirinya.
“Kalau kita merupakan orang yang dikenali, memang lumrah jika kita ditempelak tetapi kita kena tahu apa pegangan kita yang sebenarnya. Kita juga kena tegas dengan pendirian dalam apa jua yang kita lakukan.
“Kalau saya dah bersedia untuk menjadi seorang produser, bermakna saya juga dah bersedia untuk dihentam. Perkara itu memang sudah biasa bagi saya. Sama ada anda suka atau tidak, ini adalah kehendak saya,” akhirinya.
Rita dan ESH bakal mengadakan kerja-kerja tanggungjawab sosial (CSR) untuk menyampaikan perkakasan elektrik buat 200 buah keluarga yang terjejas akibat banjir di Terengganu, baru-baru ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Datin Rita Sosilawati