Finalis Hero Dewi Remaja 2023, Arabella berharap agar semua dapat memberikan ruang buat dirinya untuk menonjolkan bakat sendiri sepanjang pertandingan berjalan.
Malah, Arabella atau nama sebenarnya Arabella Ellen John Robert Nelson tidak mahu disamakan dengan pelakon yang juga alumni Dewi Remaja, Anna Jobling.
Ia susulan keduanya mempunyai persamaan kerana mempunyai darah campuran sama iaitu Melayu-Inggeris.
Jelas finalis berusia 18 tahun itu, dia lebih selesa semua pihak mengenalinya kerana menjadi diri sendiri daripada dibandingkan dengan orang lain.
“Memang ramai orang yang samakan kami. Saya tak mahu orang gelarkan saya sebagai Anna Jobling 2.0. Saya mahu dikenali sebagai Arabella.
“Saya berharap agar perkara seperti ini dapat dihentikan. Saya ada karakter, aura dan bakat tersendiri. Itu yang saya ingin tunjukkan kepada orang ramai.
“Ada kalanya saya memang ada rasa rimas sebab kerap sangat orang cakap begitu dekat saya,” katanya kepada MH.
Arabella yang juga bekas atlet gimnastik itu berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media Hero Dewi Remaja 2023 yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Bagaimanapun, dia tetap kagumi pencapaian yang telah diraih Anna setakat ini dan mahu menjadikan pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu sebagai contoh.
“Jangan salah tafsir dengan kenyataan saya. Saya juga sukakan Anna. Dia merupakan alumni Dewi Remaja dan kerjaya lakonannya pula sangat baik.
“Saya memang mahu mengikut jejak langkah Anna tapi saya masih mahu dikenali sebab diri saya sendiri dan bukan orang lain,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, dia bakal memanfaatkan kelebihan dan mentalitinya sebagai bekas atlet negara untuk bersaing dengan 15 finalis lain.
“Sasaran saya adalah untuk bergelar juara. Siapa sahaja yang tak nak menang? Walaupun saya merupakan peserta paling muda dan ada peserta lain yang lebih berbakat tapi saya ada kekuatan untuk bersaing.
“Saya sentiasa berikan perhatian kepada setiap seorang peserta. Sebagai bekas atlet, saya ada mentaliti yang sangat kuat. Ia bagus untuk program seperti ini.
“Semangat itu saya akan bawa sepanjang program ini berlangsung. Saya tak sabar untuk melakukan tugasan pada setiap minggu,” katanya lagi.
Sementara itu, anak jati Selangor ini juga mendedahkan dirinya sudah mempersiapkan diri dan mental untuk berhadapan dengan segala cabaran sebagai anak seni.
“Saya sudah bersedia sekiranya kehidupan saya berubah dan menjadi perhatian orang ramai. Kecaman juga merupakan perkara biasa buat mereka yang ingin menceburi bidang seni.
“Kalau saya dikecam kerana buat silap, saya sentiasa bersedia untuk memohon maaf. Sekiranya ia merupakan perkara yang tidak benar, saya akan abaikan sahaja.
“Saya tidak mahu sesuatu isu menggangu kehidupan dan membuatkan saya tertekan. Saya akan cuba atasi setiap permasalahan yang datang kepada saya,” akhirnya.
Rakaman program ini akan bersiaran selama tujuh episod setiap Jumaat bermula 10 November ini jam 10 malam menerusi saluran Astro Ria dan Astro Go.
Manakala episod kemuncak minggu ke-8 pula bakal bersiaran secara langsung pada 30 Disember depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.