“Saya Tak Mahu Ulas…,” – Ruhainies Elak Kongsi Hal Mr E, Mahu Fokus Kerjaya! Bakal Muncul Dalam Filem Seram

Share

Pelakon popular, Ruhainies, memilih untuk tidak lagi ‘menjaja’ kisah cinta dengan kekasih yang digelar Mr E kerana tidak mahu peminat terlepas pandang soal perkembangan kerjaya seninya.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 29, berkata, dia tidak kisah jika netizen mahu membuat pelbagai spekulasi mengenai status hubungannya dengan Mr E, ketika ini.

“Saya tidak mahu mengulas sama ada kami masih menjalinkan hubungan cinta atau sudah putus. Cukuplah dengan apa yang pernah dikongsikan pada peminat sebelum ini,” katanya.

Ditanya adakah Mr E tidak kecewa melihat keakrabannya dengan pelakon sensasi Zul Ariffin, Ruhainies mengakui, setiap apa yang dilakukan mengikut keputusan sendiri.

“Saya rapat dengan Zul sebagai sahabat dan rakan artis. Sebab itulah, saya pilih Zul menjadi rakan gandingan sebagai promosi dalam klip video malam berinai yang dimuat naik menerusi laman Instagram, sebelum ini,” katanya.

Ditanya persoalan mengenau perkahwinan, kata Ruhainies, dia tidak merancang berkahwin pada tahun ini.

“Saya mahu fokus mengukuhkan nama dalam kerjaya seni terlebih dahulu.

“Sebagai pelakon, saya tidak mahu dikenali sebagai pelakon drama sahaja kerana mahu mengembangkan kerjaya ke layar perak,” katanya.

Ruhainies bakal muncul dengan filem baharu, Musyrik – Api Neraka Menantimu!

Berkongsi lanjut mengenai filem bergenre seram itu, Ruhainies menjelaskan dia menerima tawaran berkenaan kerana mahu mencuba filem genre seram.

Filem arahan Arjin Uppal itu menyaksikan Ruhainies bergandingan dengan Ashraf Muslim dan Aeril Zafrel selaku teraju utama.

“Saya seorang penakut, tetapi Arjin berjaya memujuk saya berlakon dalam filem seram ini. Saya bertuah bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Ashraf dan Aeril.

“Aeril misalnya banyak membantu memberi tunjuk ajar untuk saya menjiwai karakter Farah seperti tuntutan watak,” katanya lagi

Filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.

Tambahnya lagi, dia turut berdepan cabaran ketika melakonkan babak sebagai Farah yang dirasuk dalam filem itu.

“Penggambaran filem ini banyak dilakukan pada waktu malam dan babak dirasuk dibuat pada jam 3.30 pagi.

“Mujur babak Farah dirasuk turut dibantu dengan elemen imej janaan komputer (CGI) untuk menghidupkan lagi karakter,” katanya.

Filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! bakal menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan.

Trailer rasmi filem tersebut telah dilancarkan pada 15 Jun lalu di saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

 

Published by
MH