Selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa berharap agar semua pihak dapat memberikannya ruang untuk menyelesai isu berbangkit berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sewaktu majlis pernikahannya serta urusan kerjanya sewaktu di Langkawi baru-baru ini.
Jelas Neelofa, dia sebolehnya mahu menyelesaikan isu ini secara profesional bersama pihak berwajib.
“Saya hormati dengan tugasan para pihak media. Saya tahu semua orang mahu tanya soalan yang sama.
“Tapi saya juga ingin meminta kepada semua pihak media yang saya pun dah kenal lama untuk memberikan saya ruang supaya saya boleh selesaikan hal ini secara professional bersama pihak berkenaan.
“Saya tidak mahu ulas panjang-panjang kerana ia akan memudaratkan lagi keadaan dan berilah saya ruang untuk selesaikan isu ini dengan pihak terlibat,” katanya kepada MH.
Bekas pengacara Meletop ini berkata sedemikan sewaktu ditemui di majlis sidang media Memorandum Persefahaman (MOU) di antara jenama selipar popular, Fipper bersama aplikasi, The Noor yang berlangsung di Hotel Marriot, Putrajaya pada Isnin.
Katanya lagi, dia enggan mengulas perkara tersebut dengan lebih lanjut kerana bimbang ia akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Saya nak selesaikan isu ini dengan tenang tanpa tekanan daripada mana-mana pihak yang tidak berkaitan.
“Biar saya selesaikan dengan cara saya sendiri. Saya tak perlu nak jelas secara terperinci kepada orang di luar sana. Biar saya selesaikan dengan pihak berkenaan sahaja,” katanya lagi.
Ditanya mengenai lawatan kerjanya sewaktu di Langkawi, Neelofa menjelaskan urusan tersebut sebenarnya telah pun dirancang lebih awal.
“Berkaitan dengan urusan kerja saya, saya ada perancangan yang telah pun dibuat dalam masa sebulan atau lebih.
“Bukannya saya buat semuanya on the spot,” katanya lagi.
Terdahulu menerusi laporan Mstar pada Ahad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihak polis akan memanggil Neelofa dan suami, PU Riz berdasarkan video dan foto yang dikongsikan di media sosial pasangan itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Apabila keluar sahaja gambar-gambar tersebut, maknanya kehadiran beliau (Neelofa) bersama suaminya itu melanggar SOP yang ditetapkan dan kita akan ambil tindakan.
“Jadi, dalam kes sebegini, wajarnya SOP polis adalah buka kertas siasatan yang mana dia (Neelofa) akan dipanggil untuk dirakamkan kenyataan termasuk berhubung gambar dan video yang viral, ” katanya.
Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 32, difahamkan terbang ke Langkawi atas urusan kerja membabitkan pembukaan cawangan francais minuman terkenal. Turut sama ialah suaminya, Haris Ismail, 26.
Neelofa dan Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz diijabkabul pada 27 Mac lalu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI