Pengacara dan bekas penyampai radio, Ikhwan Rosli menjelaskan ketiadaannya di dalam industri radio tempatan ketika ini bukanlah disebabkan merajuk atau terasa hati.
Menurut Ikhwan atau nama sebenarnya Mohd Khairul Ikhwan Rosli, dia sebaliknya kini mahu mencari haluan baharu yang belum pernah diceburi sebelum ini.
“Saya tidak merajuk. Kalau tanya kepada semua penyampai radio, memang akan ada masa mereka rindu kerjaya itu. Namun, nak kembali sepenuhnya, rasanya tidak lagi.
“Saya sudah bergelar penyampai radio hampir 13 tahun. Cukuplah untuk saya. Kini saya nak belajar benda baharu dalam bidang hiburan ini,” katanya kepada MH.
Bekas penyampai radio Hot FM itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media perlancaran single terbaharu Azharina dan Kazoe yang berjudul Realiti pada Rabu.
Katanya lagi, pengundurannya dalam bidang radio juga adalah untuk memberi ruang buat anak-anak muda menyerlahkan bakat mereka.
“Ada yang tanya kenapa saya tak ke udara lagi? Memang saya ada pengalaman walaupun hanya belasan tahun dan tidak tidaklah sehebat mana.
“Namun, kalau saya tidak berhenti, saya tidak akan membuka ruang kepada generasi-genarasi baharu untuk bergelar penyampai radio.
“Pelajar-pelajar lepasan universiti, mereka juga perlukan platform. Jadi, saya berundur agar mereka boleh belajar dan timba pengalaman,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ikhwan mendedahkan dirinya ada menerima tawaran untuk bergelar penyampai radio namun, dia memilih untuk menolak.
“Ada yang kata saya sendu. Pada saya, sendu itu perkara terakhir kita kena fikir. Roti pun ada tarikh luput. Ada masa kita tak boleh makan walaupun kita jaga elok.
Apatah lagi manusia.
“Saya ada dapat tawaran untuk menjadi menyampai sambilan tapi saya tolak. Pada saya industri ini luas. Banyak perkara yang kita boleh belajar.
“Paling penting, dalam hidup ini, kita kena percaya rezeki Allah ada di mana-mana sahaja,” kongsinya lagi.
Ditanya mengadapa dia tidak mengikut jejak langkah rakan-rakan seangkatan yang kembali ke dunia penyampaian radio, ini jawab Ikhwan;
“Minat mereka sebagai penyampai, mungkin tidak boleh dipadam. Saya tak boleh halang kakak-kakak dan abang-abang saya yang kembali menjadi penyampai.
“Mereka juga mencari rezeki dan minat mereka masih tinggi. Saya pula nak menuntut ilmu dalam hal baru. Saya anggap diri ini sebagai anak murid dalam bidang lain,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.