Penyanyi Shila Amzah menjelaskan penglibatannya di dalam program nyanyian realiti, Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) bukan hanya kerana habuan semata-mata.
Sebaliknya, penyertaannya di dalam program popular itu sebagai platform untuknya menyerlahkan sisi lain dalam profil kerjaya nyanyian.
Bagaimanapun, Shila atau nama sebenarnya, NurShahila Amir Amzah, 32, mengakui dia perlu juga memikirkan mengenai kewangan apatah lagi sejak bergelar ibu tunggal awal tahun ini.
“Saya tidak menafikan apabila bila bergelar ibu tunggal banyak perkara yang saya perlu titik beratkan, misalnya dalam soal kewangan. Saya tidak nafikan. Di bahu saya terdapat banyak benda yang saya perlu fikirkan juga.
“Jadi ibu tunggal bagi saya bukan hal yang mudah. Akan tetapi kalau nak dikatakan seratus peratus sebab saya sertai GV9 kerana hal kewangan tidaklah tepat. Sebab saya setuju sertainya pun atas dasar minat.
“Saya benar-benar mahu berkarya supaya mudah-mudahkan selepas peminat nampak sisi lain saya. Siapa tahu mungkin akan ada peluang lain lagi untuk saya di luar sana selepas ini insyaAllah,” katanya kepada MH.
Ditanya mengenai kritikan atau komen melampau yang bakal diterima apabila program itu bakal bermula Ahad ini, penyanyi Patah Seribu itu bersedia dan memilih untuk lebih rasional dalam menguruskan hal tersebut.
“Kali ini saya memilih untuk tidak membaca komen negatif yang ditinggalkan. Sebab sebelum ini saya masih baca juga komen sedemikian. Kadang-kadang di balik reaksi yang tak baik itu, ada terselit perkara yang sebaliknya.
“Cuma kalau diberikan komen yang baik, saya ‘aminkan sahaja. Jujurnya sekarang bagi saya komen negatif yang diberikan itu agak menakutkan.
“Iyalah sebab di akhirnya nanti rezeki kita semua ini Dia yang menentukan. Kita hanya boleh merancang, tapi Allah SWT yang menentukan,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
https://youtu.be/lKzn6GUIO-8
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI