Penyanyi Aepul Roza akui terpaksa memperlahankan komitmennya bersama kumpulan Drama Band bagi memberikan sepenuh tumpuan untuk bertanding di program The Hardest Singing Show (THSS).
Menurut Aepul atau nama sebenarnya Noor Syaiful Mohd Zalaludin, program ini sememangnya memerlukan komitmen yang tinggi selain turut mencabar kreativitinya untuk memberikan persembahan terbaik setiap minggu.
“Komitmen bersama Drama Band sedikit terganggu kerana komitmen bersama THSS memang banyak memakan masa dan usaha saya.
“Saya tak mahu buat sesuatu perkara itu separuh jalan dan hati. Bukan saya sahaja yang meletakkan komitmen 100 peratus tetapi juga seluruh team saya.
“Jadi, Drama Band akan bergerak perlahan sekejap dan tawaran persembahan akan dikurangkan dahulu sehingga program ini selesai. Selepas itu, kita akan kembali fokus dengan band,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu I.L.U itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas selesai konsert THSS minggu ke-4, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Aepul bersyukur kerana dikurniakan anggota kumpulan yang menyokong dan faham dengan kehendaknya saat ini.
“Yang seronoknya, Drama Band ini sudah seperti adik beradik saya. Mereka sangat menyokong dan memberikan input sepanjang saya menyertai THSS.
“Kerja-kerja muzik yang saya lakukan di program ini juga banyak dibantu oleh anggota-anggota kumpulan yang lain,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, dia kini sedang menunggu waktu yang tepat untuk membawa Drama Band ke pentas THSS.
“Sudah pasti saya ada perangangan untuk membawa mereka semua di atas pentas THSS. Doa-doakanlah.
“Saya juga sedang menunggu waktu, tugasan dan tema yang sesuai,” kongsinya.
Sementara itu, Aepul juga akui teruja apabila diberikan kebebasan penuh untuk berkarya sepanjang menyertai program ini.
“Saya sangat gembira kerana ini merupakan kerja-kerja yang saya cintai. Platform THSS ini juga membebaskan saya untuk berkarya dalam apa juga bentuk dan disokong peminat.
“Ini kebahagiaan yang sebenar,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.